Dua lelaki bunuh peniaga dihadapkan ke mahkamah

Dua lelaki bunuh peniaga dihadapkan ke mahkamah

Bunuh peniaga
HAIRUL Hisham Ishak dan Mohd. Kamarulzaman Abd Wahab dibawa polis ke Mahkamah Majistret bagi menghadapi pertuduhan bunuh seorang peniaga, di Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang peniaga pada minggu lalu.

Tertuduh, Hairul Hisham Ishak dan Mohd. Kamarulzaman Abd Wahab tunduk dan mengangguk faham apabila kertas pertuduhan dibacakan secara bersama ke atas mereka.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sehingga prosiding itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Hairul Hisham, 48, dan Mohd. Kamarulzaman, 38, bersama dua lagi lelaki yang masih bebas dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Rafidzul Afeendi Mustapha, 33.

Tindakan tersebut didakwa dilakukan dekat tepi Sungai Jalan Kempas Kiri, Kampung Perepat, Kapar di sini, kira-kira pukul 3.50 pagi, pada 11 September lalu.

Justeru, mereka dituduh di bawah Seksyen 302 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara sehingga 40 tahun dan maksimum 12 sebatan.

Majistret Siti Zubaidah Mahat kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 28 November depan bagi penyerahan dokumen dan laporan bedah siasat, forensik dan Jabatan Kimia.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam, prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salman Al Farisi Nawawi.

Utusan Malaysia pada minggu lalu melaporkan warga emas antara empat termasuk dua warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang peniaga di Jalan Kempas Kiri itu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 72 tahun itu ditahan melalui satu operasi khas.

Hasil siasatan dan bedah siasat juga mendapati mangsa maut akibat dicekik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×