Lebih 102,800 pembayar cukai sudah laksanakan e-Invois sejak 2024

Lebih 102,800 pembayar cukai sudah laksanakan e-Invois sejak 2024

SEORANG pelanggan sedang berurusan di kaunter e-Invois di Menara Hasil, George Town, Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Lebih daripada 102,800 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran lebih daripada 563 juta e-Invois sejak sistem itu diperkenalkan secara berperingkat mulai 2024.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan e-Invois kini berada di fasa ketiga yang melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan RM5 juta sehingga RM25 juta yang bermula pada 1 Julai lalu.

“Sambutan yang diterima amat positif, malah terdapat pembayar cukai yang telah melaksanakan e-Invois secara sukarela lebih awal dari garis masa mandatori,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Mega e-Invois Siri Kedua Tahun 2025, di Menara Hasil, di sini hari ini.

Menurut Amir Hamzah, pelaksanaan e-Invois merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan yang selaras dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) dan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi memperkukuh infrastruktur digital serta mempercepatkan pendigitalan ekosistem perniagaan dan percukaian di Malaysia.

“Melalui sistem ini, ia memberi tumpuan meningkatkan kecekapan operasi perniagaan, integriti dokumentasi dan rekod perniagaan, sekali gus mengurangkan risiko pemalsuan rekod serta kehilangan dokumen.

“Sebelum pelaksanaan e-Invois, pembayar cukai khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sering berdepan dengan kelemahan dalam pengurusan rekod perniagaan sehingga menjejaskan pematuhan cukai dan peluang mendapatkan pinjaman kewangan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, bagi memberi ruang kepada PMKS membuat persediaan rapi, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan mandatori e-Invois dengan memperkenalkan dua fasa baharu iaitu Fasa Keempat melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta sehingga RM5 juta mulai 1 Januari 2026 dan Fasa Kelima bagi perniagaan dengan jualan tahunan sehingga RM1 juta mulai 1 Julai 2026.

Selain itu, katanya, nilai ambang pengecualian juga dinaikkan daripada RM150,000 kepada RM500,000 yang bakal memberi manfaat kepada sebilangan besar peniaga mikro dan kecil supaya tidak terbeban dengan kos kewangan atau keperluan teknikal.

Amir Hamzah berkata, kerajaan turut memberikan kelonggaran enam bulan selepas tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois bagi membolehkan pengeluaran e-Invois disatukan tanpa dikenakan penalti, sebagai langkah fleksibiliti kepada perniagaan.

“Sepanjang tempoh kelonggaran ini, kerajaan menggalakkan perniagaan meningkatkan proses operasi serta sistem bagi memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan lancar,” ujarnya.

Mengulas mengenai penganjuran Program Jelajah Mega e-Invois pula, beliau berkata, ia adalah usaha berterusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk meningkatkan kesedaran, pemahaman dan pengetahuan mengenai e-Invois, khususnya kepada pembayar cukai Fasa Keempat yang dijangka melibatkan lebih 130,000 pembayar cukai mulai 1 Januari 2026.

Katanya, kerajaan menyambut baik inisiatif itu kerana ia memberi peluang kepada PMKS untuk mendapatkan maklumat serta mengemukakan maklum balas secara langsung sebelum pelaksanaan penuh kelak.

“Saya menyeru semua pembayar cukai agar tidak menunggu saat akhir. Persediaan awal ke arah pelaksanaan e-Invois bagi perniagaan masing-masing adalah lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×