GEORGE TOWN: Kerajaan akan memperkenalkan beberapa mekanisme tambahan bagi memastikan golongan yang menerima subsidi petrol RON95 tidak menyalahgunakan kemudahan itu termasuk membuat isian berulang kali dalam tempoh sehari.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha memastikan subsidi berkenaan benar-benar dinikmati oleh rakyat yang layak dan bukannya pihak lain termasuk warga asing atau pihak yang mahu mengambil kesempatan.
“Kerajaan akan perkenalkan beberapa mekanisme tambahan di mana kita tidak akan membenarkan mereka yang buat banyak kali penggunaan petrol subsidi dalam sehari, kita akan terangkan mengenainya nanti,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Mega e-Invois Siri Kedua Tahun 2025 di Menara Hasil, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Bagaimanapun, bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi peringatan bahawa pelaksanaan subsidi petrol bersasar melalui BUDI95 masih terdedah kepada risiko ketirisan baharu.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan turut memberi kelonggaran kepada golongan e-hailing dan p-hailing yang memerlukan kuota tambahan kerana mereka bergantung kepada penggunaan petrol untuk menjana pendapatan harian.
“Kita ada mekanisme permohonan tambahan. Mereka boleh memohon dengan sokongan syarikat masing-masing yang mengesahkan mereka benar-benar aktif sebagai pemandu e-hailing atau p-hailing. Kita akan sahkan berdasarkan rekod penggunaan sistem serta data syarikat berkenaan,” katanya.
Jelas beliau, langkah itu membolehkan kerajaan mengawal ketirisan serta mengelakkan penyalahgunaan subsidi selain memastikan kumpulan pekerja yang memerlukan benar-benar mendapat manfaat tambahan.
“Kerajaan juga mempunyai rekod lengkap penggunaan termasuk jumlah isian petrol yang dibuat oleh individu dalam sehari atau sebulan sekali gus membolehkan pemantauan selepas pelaksanaan dibuat,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Amir Hamzah menolak kebimbangan bahawa stesen minyak mungkin tidak bersedia sepenuhnya apabila subsidi bersasar itu dikuatkuasakan hujung bulan ini.
“Sebenarnya projek ini sudah lama disiapkan. Kerajaan bersama syarikat minyak telah bekerjasama sejak hujung tahun lalu untuk memastikan semua sistem berjalan lancar,” ujarnya.
Beliau berkata, semua syarikat minyak sudah mengesahkan kesediaan masing-masing dan mesin di kedai serta pam minyak telah diaktifkan untuk menyokong pelaksanaan subsidi tersebut.
Katanya lagi, hampir semua syarikat minyak sudah melaksanakan ujian pada sistem Outdoor Payment Terminal (OPT) yang membolehkan rakyat menikmati subsidi secara terus di pam minyak.
“Saya yakin persediaan mencukupi. Namun, kita akui tiada sistem yang sempurna. Mungkin ada sedikit gangguan di peringkat awal, tetapi kerajaan akan memastikan harga subsidi yang dijanjikan iaitu RM1.99 seliter akan dipenuhi,” katanya. – UTUSAN










