Ketika ramai rakan sebaya memilih menikmati hari-hari persaraan bersama keluarga, Norhayati Nordin pula memilih jalan yang berbeza dengan menjadikan negara-negara luar sebagai taman permainannya.
Selepas menamatkan kerjaya dalam bidang komunikasi korporat pada tahun 2020, wanita berusia 63 tahun itu, mula bergerak sebagai pengembara solo.
Segalanya bermula apabila dia terbaca sebuah hantaran wanita seusianya di media sosial berkongsi pengalaman mengembara secara solo.
Ia memberikan kebebasan, tenang dan penuh makna.
Setiap kisah yang dibaca menyentuh impian terpendam dalam dirinya untuk melancong ke luar negara.
Impian yang selama ini terpaksa dipendam ekoran tuntutan kerja, komitmen keluarga dan kos yang tinggi.
Kebetulan pula, dia terjumpa satu konsep yang unik iaitu slow travel. Ia adalah kaedah melancong secara perlahan, santai dan menjimatkan.
Semakin lama membaca, semakin membuatkannya terinspirasi.
Daripada situ, dia mengenali konsep house sitting iaitu menjaga rumah orang asing di luar negara sebagai pertukaran untuk tempat tinggal percuma.
“Daripada situlah saya mengenali konsep house sitting, iaitu menjaga rumah orang asing di luar negara sebagai pertukaran tempat tinggal percuma. Melalui aplikasi TrustedHousesitters, konsep ini semakin mendapat perhatian global.
“Selain itu, penjaga rumah juga tidak memerlukan sebarang bayaran dan konsep ini hanya digunakan ketika pemilik rumah tiada di rumah dalam tempoh yang panjang.
“Menariknya, syarat mengambil orang sebagai penjaga rumah, pemilik kediaman perlu mengikuti peraturan dengan tidak memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengekalkan privasi,” katanya.
Dia juga sentiasa berkongsi perkembangan harian di media sosial untuk mengelakkan ahli keluarganya risau.
Pengalaman pertama di Sydney
Bermula Februari 2022, Norhayati memilih Sydney sebagai destinasi pertama menjadi penjaga rumah, susulan terdapat ramai warga Malaysia tinggal di bandar berkenaan.
Rumah yang dijaganya terletak di kawasan pinggir bandar yang dikelilingi alam semula jadi.
Setiap pagi, dia disambut oleh kicauan burung kakak tua yang dianggap mustahil boleh dirasai di tanah air.
“Suasana tersebut bukan sekadar memberi ketenangan, malah membuatkan saya lebih menghargai erti kesunyian, kebebasan dan kehidupan yang sederhana tetapi penuh makna.
“Malah, pengalaman kali pertama menjadi penjaga rumah di negara luar turut meninggalkan memori tersendiri, apabila saya menyambut ulang tahun kelahiran ke-60 secara bersendirian,” katanya.
Disebabkan yakin dengan konsep mengembara dengan menjadi penjaga rumah di negara-negara asing, dia melangkah lebih jauh ke benua Eropah.
United Kingdom (UK) menjadi ‘pangkalannya’ untuk memudahkan dia melancong ke negara-negara lain dalam tempoh enam bulan.
Dia tidak melepaskan peluang mengambil tawaran di beberapa bandar utama di Scotland, England dan Ireland. Malah, wanita itu juga sempat ke German, Netherlands, Belgium, Finland, Luxembourg dan Switzerland.
“Sepanjang pengembaraan tersebut, bahasa tidak pernah menjadi masalah besar kerana kebanyakan masyarakat di negara-negara itu fasih berbahasa Inggeris,” katanya.
Tambahnya, pengalaman itu bukan sahaja mengajar dia menyesuaikan diri dengan budaya setempat, malah membawanya mengenali sisi baharu dalam diri.
Ujarnya, dia mula meminati aktiviti mendaki yang disangkakan mustahil dilakukan wanita seusianya sebelum ini.
Selain itu, dia juga gemar meneroka kawasan menarik di pinggir bandar yang jarang diketahui pelancong dan jauh daripada tumpuan ramai.
Di situlah dia menemui keunikan sebenar sesebuah tempat seperti keindahan landskap semula jadi, hinggalah keramahan komuniti setempat yang menyambut mesra kedatangannya.
Dugaan di Pulau Jeju
Antara pengalaman paling mencabar sepanjang pengembaraannya ialah ketika berada di Pulau Jeju, Korea Selatan. Ketika itu, ribut salji melanda kawasan tersebut sehingga menyebabkan bekalan elektrik terputus.
Malam yang sepatutnya tenang bertukar penuh debaran, apatah lagi dia berada seorang diri di rumah asing yang ditinggalkan di bawah jagaannya.
Namun, di sebalik rasa cemas, dia tetap bersyukur kerana rumah yang dijaganya tidak mengalami kerosakan besar akibat cuaca ekstrem itu.
Baginya, situasi itu sebahagian cabaran menjadi penjaga rumah di negara asing.-UTUSAN











