TANGANNYA lincah melilit daun nipah sambil tersenyum mengajar kumpulan lelaki dan wanita mengenai cara pembuatan bunga moyang.
Daripada pandangan mata kasar, bunga ini mungkin hanya sebagai hiasan berbentuk flora dan fauna.
Namun, bagi masyarakat Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun di Pulau Carey, bunga moyang adalah nadi spiritual dan warisan yang tidak ternilai.
Julida Uju, 56, dan adiknya, Rita, 54, merupakan antara pewaris seni anyaman bunga moyang yang masih tekun meneruskan kraf turun-temurun ini.
Kedua-duanya aktif dalam kumpulan penganyam Tompoq Topoh, malah turut membimbing generasi muda dan berkongsi keunikan tradisi ini dengan masyarakat luar.
Kata Julida, sejak kecil lagi, mereka terbiasa melihat nenek dan ibu menganyam daun nipah muda untuk dijadikan bunga moyang.
Daripada situlah lahir minat yang akhirnya membawa mereka menjadi antara penganyam utama komuniti Mah Meri.
“Saya cuma memerhati gerakan tangan mereka dan seawal usia 10 tahun, saya sudah mahir membuat bunga moyang.
“Aktiviti ini dilakukan golongan wanita di kampung secara beramai-ramai sambil berbual serta bergurau, lama-kelamaan tangan jadi lincah dan daun nipah pun seolah-olah mengikut gerakan kita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Julida, bunga moyang biasanya dianyam untuk upacara penyembuhan, perkahwinan, kematian, cukur jambul dan perayaan Hari Moyang.
Fungsinya sebagai hiasan dalam setiap upacara itu supaya roh nenek moyang dapat mengenali kehadiran mereka di dunia ini.
Dalam masa sama, ia turut digantung di rumah bagi melindungi kesejahteraan dan keselamatan penghuni serta menangkis roh jahat.
Setiap bentuk bunga atau haiwan yang dianyam membawa maksud tersendiri.
Contohnya, burung mewakili doa untuk kebebasan dan rezeki, manakala bunga melambangkan kesuburan dan keharmonian rumah tangga.
Cipta bentuk moden
Difahamkan, terdapat lebih daripada 30 jenis bunga moyang yang dihasilkan masyarakat Mah Meri.
Ia merangkumi bentuk bunga, burung, haiwan laut dan darat.
Seiring dengan perkembangan zaman, pelbagai versi moden turut dicipta oleh kumpulan penganyam Tompoq Topoh.
Pendekatan tersebut sekali gus menjadikan seni anyaman ini lebih fleksibel dan relevan dengan cita rasa generasi muda tanpa menjejaskan nilai tradisi asal.
Sentuhan Julida berjaya menghasilkan bentuk bunga gombe satu, keris tangga, sate/tungkul, etiau dan gombe sepit.
Katanya, bunga moyang moden disifatkan lebih kemas, berwarna-warni dan menampilkan pelbagai corak baharu berbanding bentuk tradisional.
“Bunga keris tangga diinspirasikan daripada bentuk tangga berpusing manakala bunga sate/tungkul bermaksud berisi yang mengingatkan kita kepada hidangan sate.
“Bunga etiau pula merujuk kepada burung layang-layang yang saya buat dalam dua versi,” kata ibu kepada empat anak berusia 23 hingga 37 tahun ini.
Bentuk-bentuk lain ialah bunga gedang, ekor memerang, hele bakau, paku hele, tepus, tali air/angin dan serai.
Daun nipah
Masyarakat Mah Meri memanfaatkan pucuk dan pelepah pokok nipah serta kelapa bagi pembuatan bunga moyang.
Tetapi kini, pokok nipah yang lebih diutamakan berikutan kekangan mendapatkan bahan daripada kelapa.
Tambahan pula, sifat pucuk dan pelepah kelapa yang lebih licin serta mudah layu berbanding nipah yang tahan lama.
Katanya, pelepah pokok nipah berwarna hijau tua manakala pucuknya hijau kekuningan.
“Masyarakat Mah Meri percaya, warna pucuk itu hampir sama dengan rona putih yang melambangkan kesucian.
“Malah, aromanya unik dan lebih kuat sekali gus menjadi kegemaran serta panduan nenek moyang semasa turun ke alam manusia,” katanya.
Kata Julida, dahulu pokok nipah tumbuh subur di ekosistem paya bakau di Pulau Carey.
Bagaimanapun, jumlahnya kini semakin merosot disebabkan aktiviti tebus guna untuk projek pembangunan dan ladang kelapa sawit.
Tompoq Topoh
Kata Julida, aktiviti anyaman sememangnya sinonim dengan wanita Mah Meri di Pulau Carey.
Dahulunya, mereka menganyam bakul serbaguna daripada daun palma dan buluh yang dituai dari hutan, manakala tikar dan bakul kecil pula diperbuat daripada mengkuang yang ditanam di sekitar kampung.
Namun, menjelang awal 2000, seni anyaman bakul serbaguna Mah Meri mengalami kemerosotan ketara disebabkan kemunculan pelbagai bekas barangan plastik murah di samping kekurangan bahan mentah.
Keadaan makin meruncing apabila golongan penganyam semakin berusia dan wanita muda tidak berminat mempelajari anyaman.
Pada 2003, sekumpulan kecil wanita dari perkampungan Sungai Mata yang terletak dalam Kampung Sungai Bumbun memutuskan untuk mendokumentasikan dan menghidupkan semula seni anyaman itu.
Usaha tersebut diterajui oleh mendiang Nihang Samah yang juga merupakan ibu matriarki kumpulan budaya mayin joo’oh di kampung itu.
Daripada cuma enam orang, kini Tompoq Topoh mempunyai 60 ahli di empat daripada enam kampung Mah Meri di Pulau Carey.
Ia termasuk sekurang-kurangnya 22 penganyam dari Kampung Sungai Kurau, kampung paling terpencil di pulau itu.
Katanya, inisiatif itu bukan sahaja dapat mempertahankan seni kraf tangan warisan turun-temurun, bahkan menjana pendapatan buat mereka.
Mereka juga berpeluang mengajar kemahiran anyaman kepada wanita di beberapa kampung Orang Asli di Semenanjung termasuk dua kampung di pesisir pantai di Kudat dan Semporna, Sabah.
Kekerapan perjalanan itu turut mendedahkan mereka kepada pelbagai budaya dan cita rasa pelanggan sekali gus memberi ilham dalam penghasilan reka bentuk baharu bunga moyang.
“Paling menarik, kesedaran dan kebanggaan masyarakat terhadap warisan anyaman Mah Meri turut meningkat,” katanya.
Tambahnya, seni anyaman bunga moyang juga berperanan memelihara bahasa mereka daripada dilupakan.
Hal itu kerana hampir kesemua bunga moyang dinamakan dalam bahasa Mah Meri.-UTUSAN











