PETALING JAYA: Golongan muda tidak mahu lagi calon kitar semula atau pemimpin berusia yang tidak pernah melakukan perubahan diangkat bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.
Ini kerana, kebanyakan kawasan pedalaman dan kampung di negeri itu masih dibelenggu masalah asas seperti bekalan elektrik, air dan pengangkutan yang dihadapi sejak puluhan tahun lalu.
Bagi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Muhammad Razif AlHaj Mat Daud, 25, PRN raya kali ini sepatutnya menjadi ruang dan peluang untuk setiap parti menampilkan wajah pemimpin baharu.
“Anak muda semakin matang dan celik maklumat, mereka mahu pemimpin yang dapat memahami realiti hidup seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, pengurusan alam sekitar dan aspek pembangunan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
DUN Sabah Ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 November ini, jika tidak dibubarkan lebih awal, kata Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya.
Pengundi di DUN Tandek, Syauqi Mardia Baharudin, 29, pula berkata, rakyat Sabah bukan berhasrat mahukan pembangunan moden dan berprestij seperti di Semenanjung, tetapi menuntut janji wakil rakyat menyelesaikan masalah asas yang belum ditunaikan.
“Saudara-mara saya yang tinggal di kawasan kampung di daerah Kota Marudu masih berdepan masalah bekalan air dan elektrik.
“Apatah lagi kawasan kami berdekatan dengan daerah termiskin, Pitas yang terletak di utara Sabah. Penduduk masih mengeluh masalah sama.
“Siapapun calon yang bertanding, mereka perlu membawa reformasi sebenar. Bagaimana mahu mempromosikan pelancongan tetapi akses ketersampaian dan keterhubungan masih menjadi isu?” soalnya.
Turut senada, pengundi di DUN Tanjung Keramat yang mahu dikenali sebagai Abdul, 27, yang akan memilih calon muda tanpa melihat parti yang diwakili mereka.
Katanya, sudah tiba masa DUN Sabah dipenuhi suara majoriti pemimpin muda yang bakal membawa perubahan bagi menyelamatkan Sabah daripada pemimpin yang gagal melunaskan tanggungjawab. – UTUSAN










