PETALING JAYA: Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar menyatakan kesediaannya untuk mengadakan pertemuan
dengan peguam yang mewakili keluarga pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, yang dipercayai mati dibunuh pada Disember 2013.
Beliau berkata, pihaknya juga telah menerima surat rasmi yang dihantar oleh peguam keluarga mangsa berhubung
perkara itu.
“Saya belum dapat tentukan tarikh buat masa ini, tetapi saya bersedia (untuk bertemu),” katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia.|
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, peguam yang mewakili keluarga pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris sedia
mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara.
Pertemuan itu bagi membolehkan barisan peguam yang dilantik mendapatkan maklum balas mengenai siasatan semula
yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Allahyarham.
Zulqarnain berkata, sejak kertas siasatan kes Wan Ahmad Faris dibuka semula pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat lanjut mengenai perkembangan kes tersebut.
“Setakat ini kami hanya dimaklumkan PDRM sedang giat mengambil keterangan daripada pihak-pihak terlibat termasuk peguam asal yang pernah mewakili keluarga semasa prosiding inkues dahulu.
“Alhamdulillah, nampaknya siasatan kali ini lebih menyeluruh berbanding siasatan terdahulu,” katanya.
Pada Disember 2013, Wan Ahmad Faris ditemukan tergantung dalam tandas asrama sekolah, namun laporan bedah
siasat ketika itu mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah.
Bagaimanapun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan pelajar itu sebenarnya dibunuh oleh individu yang
masih belum dikenal pasti identitinya. – UTUSAN










