BATU GAJAH: Waris Istana Raja Bilah di Papan, dekat sini kesal apabila rumah kayu berusia lebih 100 tahun dan masjid di situ dikaitkan dengan perkara mistik akibat kegiatan paranormal.
Waris istana, Hafizah Kamaruddin mengakui sedih apabila masyarakat percaya dengan perkara khurafat di rumah bersejarah itu, apatah lagi mengaitkan masjid bersebelahan rumah itu dengan perkara mistik.
“Masjid lama ini tidak sepatutnya diburuk-burukkan, apatah lagi masjid sebagai institusi yang telah berjasa sebagai pusat agama Islam untuk penduduk Papan dan Pusing,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Hafizah pernah berjumpa dengan kumpulan yang mengimarahkan masjid itu dan mereka pernah di situ tetapi tidak langsung mengaitkan masjid itu dengan kisah mistik atau kisah-kisah yang menakutkan.
“Pengalaman kumpulan itu amat menggembirakan tapi tiba-tiba orang luar datang cerita seram, sepatutnya datang masjid solatlah dahulu tapi bercerita yang bukan-bukan. Sepatutnya tonjolkan kegemilangan tempat sejarah seperti di Papan ini.
“Apa yang dikesalkan kini semakin menjadi-jadi dalam media sosial cerita cerita yang terlampau menggalakkan paranormal dan khurafat,” katanya.
Sementara itu, warisan sejarah rumah besar yang lebih dikenali Istana Raja Bilah kembali menjadi perhatian apabila acara ‘Let’s Have Coffee @ Rumah Besar Raja Bilah’ diadakan baru-baru ini.
Program itu berjaya menghimpunkan ratusan pengunjung dalam suasana santai penuh nostalgia sempena sambutan Hari Retro Pekan Papan Lama.
Program istimewa itu diadakan di Istana Raja Bilah yang jarang dibuka kepada umum. Program itu menjadi platform unik menyatukan komuniti lama dan baharu sambil menyemarakkan semula semangat cintakan sejarah tempatan.
Acara bermula dari 8 malam hingga 12 tengah malam itu menyaksikan kehadiran penduduk tempatan pekan Papan serta pengunjung dari luar Perak termasuk Kuala Lumpur yang teruja menjejak kaki ke dalam kediaman bersejarah itu.
“Ramai yang sudah lama ingin melihat sendiri keadaan dalam Rumah Raja Bilah ini. Apabila diberi peluang sempena Hari Malaysia, saya fikir mengapa tidak kita adakan sesi santai minum kopi sambil bercerita sejarah rumah dan pekan Papan,” kata Hafizah.
Menurutnya, acara itu mendapat sambutan luar jangka walaupun dirancang pada saat akhir. – UTUSAN











