MANCHESTER: Erling Haaland terus mencipta sejarah apabila memecah rekod baharu jaringan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) ketika membantu Manchester City menewaskan Napoli 2-0 pada aksi pembukaan kejohanan itu, semalam.
Berdasarkan prestasi semasa Haaland, pengendali Man City, Pep Guardiola optimis penyerang Norway itu berpotensi menyaingi Cristiano Ronaldo sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Haaland, 25, muncul pemain terpantas mencatat 50 gol dalam saingan elit Eropah, dengan hanya melakukan 49 penampilan untuk mencapai angka berkenaan selepas menanduk kemas hantaran Phil Foden pada minit ke-56.
Rekod itu mengatasi pencapaian Ruud van Nistelrooy yang memerlukan 62 perlawanan untuk mencapai angka 50 gol.
Ronaldo pula memegang rekod penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan 140 gol dan Haaland berpeluang mengatasi jumlah itu jika mampu konsisten untuk tempoh sedekad lagi.
“Angka itu sudah membuktikan segalanya. Dia setaraf dengan Van Nistelrooy, (Robert) Lewandowski, dan sudah tentu dua legenda Cristiano (Ronaldo) serta (Lionel) Messi.
“Daripada segi jaringan, ia sesuatu yang luar biasa. Jika dia kekalkan rentak ini, dan masih mampu bermain 10 hingga 12 tahun lagi, dia boleh capai rekod itu,” kata Guardiola.
Pengurus kelahiran Sepanyol itu, turut memuji aksi Foden yang kembali menyerlah selepas bergelut musim lalu. – AGENSI/UTUSAN










