WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada Rabu mengumumkan pemotongan kadar faedah sebanyak 0.25 mata peratusan, meletakkan kadar pinjaman utamanya dalam julat 4 peratus hingga 4.25 peratus, paras terendah sejak akhir 2022.
Langkah itu menandakan pemotongan kadar pertama sejak Disember lalu, sekali gus dijangka membuka ruang kepada beberapa siri pengurangan tambahan dalam bulan-bulan akan datang.
Pemotongan ini bertujuan menurunkan kos pinjaman di seluruh negara, namun turut membawa mesej berhati-hati mengenai keadaan ekonomi.
Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata, pasaran buruh kini menunjukkan tanda-tanda kelembapan walaupun kadar pengangguran masih rendah.
“Pengangguran masih rendah tetapi kami melihat risiko penurunan yang semakin ketara,” katanya pada sidang media selepas pengumuman itu.
Nada ini berbeza dengan kemas kini Fed pada Julai lalu yang ketika itu menggambarkan pasaran pekerjaan masih kukuh.
Keputusan pemotongan kadar itu disokong oleh 11 daripada 12 ahli jawatankuasa Fed.
Seorang lagi ahli, Stephen Miran yang kini bercuti daripada jawatannya mengetuai Jawatankuasa Penasihat Ekonomi Presiden, Donald Trump mengundi untuk pemotongan yang lebih besar iaitu 0.5 mata peratusan.
Pasaran saham pada awalnya meningkat selepas berita pengumuman tersebut, namun kemudiannya jatuh semula dengan tiga indeks utama ditutup dalam keadaan merah.
Walaupun Trump sejak sekian lama menggesa pengurangan kadar faedah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, Fed menegaskan keputusan itu dibuat secara bebas daripada pengaruh Rumah Putih.
Ia didorong oleh keperluan menyokong pasaran pekerjaan yang semakin goyah, bukan semata-mata faktor politik.
Dengan pemotongan ini, para penganalisis menjangkakan Fed akan terus menurunkan kadar faedah sepanjang tahun bagi mengelakkan kelembapan ekonomi yang lebih serius.-AGENSI










