KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar sebuah makmal dadah jenis ekstasi dengan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai setengah bilion melalui tiga serbuan di sekitar Kepong, minggu lalu.
Operasi kira-kira 8 pagi hingga 11 pagi itu dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 10 September lalu berdasarkan risikan dan pemantauan rapi di sekitar Lembah Klang.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya menahan empat lelaki tempatan berusia 34 hingga 51 tahun.
Katanya, setiap suspek berperanan sebagai koordinator, ahli kimia, pembantu serta pengangkut.
“Serbuan pertama dibuat di Taman Perindustrian Kepong apabila kita menahan tiga suspek dan merampas 136 tong serta satu bekas plastik berisi cecair Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) iaitu bahan untuk menghasilkan esktasi dengan berat 3,330 kilogram (kg).
“Turut dirampas ialah 563 botol kaca bahan kimia seberat 1,200kg, 213.7kg serbuk kimia serta pelbagai peralatan memproses dadah.
“Ia membawa kepada serbuan kedua di Kepong Industries Park. Pelbagai dadah ditemukan antaranya 25.3 kilogram dadah MDMA, 231.15kg cecair MDMA, 947.35kg cecair bahan kimia serta 52.4 kilogram serbuk bahan kimia selain peralatan makmal,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambahnya, serbuan ketiga dilakukan di sebuah rumah di Dataran Templer, Selangor yang membawa kepada penahanan seorang transporter namun tiada dadah ditemukan.
Mohd. Khalid berkata, siasatan awal mendapati sindiket ini mula beroperasi sejak Julai lalu dengan modus operandi menyewa premis di kawasan perindustrian sebagai makmal haram dan MDMA yang dirampas itu diproses untuk dijadikan dadah jenis ekstasi.
Jelasnya, dadah berkenaan kemudiannya diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa yang kita percaya untuk pasaran Indonesia dan Australia.
“Secara keseluruhan, PDRM telah berjaya merampas 3,586.45kg dadah jenis MDMA dengan anggaran nilai pasaran gelap mencecah RM598.9 juta.
“Rampasan keseluruhan berpotensi menjejaskan kehidupan hampir 12 juta pengguna sekiranya ia terlepas ke pasaran.
“Selain itu, tindakan turut diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai sitaan keseluruhan RM336,224,” katanya.
Menurutnya, antara yang disita ialah lima kenderaan pelbagai jenama iaitu Toyota Vellfire; Toyota Unser; Toyota Caldina; Proton X70 dan Mazda 6, sebuah forklift, wang tunai RM2,000, sebentuk cincin dan beberapa syiling keemasan.
Ujarnya lagi, seorang daripada suspek iaitu ahli kimia mempunyai rekod kesalahan dadah lampau di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati hanya seorang suspek positif ketamin manakala tiga yang lain negatif.
“Kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari bermula 11 September lalu hingga hari ini dan akan disambung reman tujuh hari lagi untuk polis melengkapkan siastan,” katanya.
Tambah Mohd Khalid, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali.- UTUSAN










