JERANTUT: Pasangan suami isteri, Mohd. Hasnizan Baharin, 45, dan Siti Shawanaa Adnan, 39, dari Kampung Bukit Genting di sini, resah memikirkan penderitaan dialami bayi mereka, Ainulmardhiah yang disahkan menghidap kanser neuroblastoma tahap empat.
Siti Shawanaa berkata, keadaan anak keduanya yang berusia dua tahun 11 bulan itu semakin susut badan dan kerap menangis yang mana penyakit tersebut memerlukan perbelanjaan sebanyak RM232,560 untuk dirawat di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur.
“Mana mampu kami mencari wang rawatan dengan jumlah yang besar sedangkan suami saya bekerja sebagai buruh ladang sawit dan pemotong rumput dengan pendapatan cukup untuk makan-minum sahaja.
“Penyakit anak saya hanya dirawat dengan memakan ubat Dinutuximab Beta (20ml/4.5ml) Brand: Qarziba yang cuma dibekalkan dari negara Eropah melibatkan harga yang mahal dan rawatan ini tidak ditanggung oleh kerajaan,” katanya di Kampung Bukit Genting.
Menurut Siti Shawanaa, ubat Dinutuximab Beta Qarziba itu bagi membantu rawatan mengurangkan risiko kanser daripada berulang.
Katanya, penyakit Ainulmardhiah mula dikesan oleh doktor pada 9 Ogos 2024 ketika anak itu terjatuh semasa mandi di bilik air. Berikutan kejadian itu dia mengalami kecederaan kaki kanannya dan mula berjalan tempang.
“Doktor membuat pemeriksaan secara mesin pengimbas mengesahkan kaki kanan tidak patah, tetapi ada kesan bintik dan memberitahu ada dua kemungkinan sama ada jangkitan kuman atau kanser. Anak saya dirawat selama tiga minggu di Hoshas,” katanya
Menurutnya, ekoran keadaan penyakit yang ditanggung anaknya semakin teruk, pihak Hoshas menghantarnya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan sekali lagi dipindahkan ke Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut pada 12 Ogos 2024.
“Keadaan anak saya berubah apabila sering menangis dan bahagian perutnya buncit dan penyakitnya mula merebak ke bahagian telinga. Kini anak saya terus menjalani rawatan di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi Siti Shawanaa Adnan di talian 017-9852497 atau salurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0610541100056393 (Siti Shawanaa). – UTUSAN











