Umar simpan tenaga untuk Sukan SEA

Umar simpan tenaga untuk Sukan SEA

UMAR OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil menegaskan sasaran utama pelari 400 meter (m) negara, Umar Osman kini terarah sepenuhnya kepada Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.

Beliau menilai kemunculan sulung anak muda berusia 22 tahun itu pada Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo minggu lalu lebih bersifat sebagai batu loncatan untuk mempamerkan aksi larian bertenaga pada temasya dwitahunan itu di Bangkok.

“Secara ringkasnya, pencapaian Umar di Tokyo adalah pengalaman besar buat dirinya kerana persaingan terlalu sengit dengan pelari yang mampu catat masa 43 atau 44 saat (s).

“Dia baru sahaja bermula di peringkat antarabangsa, jadi kejohanan ini lebih kepada proses untuk mengembalikan rentak larian dan keyakinan sebelum menuju Sukan SEA,” kata Manshahar kepada Utusan Malaysia.

Manshahar menegaskan, Umar masih berada dalam landasan tepat kerana catatan 46.43s di Tokyo tidak jauh berbeza daripada rekod kebangsaan 46.09s miliknya.

Beliau percaya dengan latihan konsisten bersama jurulatih peribadinya, Simon Lau, pelari kelahiran Johor itu berpotensi kembali lebih tajam dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Umar yang muncul juara 400m Sukan SEA Kemboja 2023 dengan catatan 46.34s dianggap masih muda dan memiliki ruang luas untuk memperbaiki tahapnya di pentas antarabangsa.

“Insya-Allah dengan pengalaman dan latihan cukup, dia akan matang dan bersedia untuk mempertahankan pingat emasnya di Thailand,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×