MINAT mendalam terhadap sejarah mendorong seorang pesara guru dari Kampung Mata Ayer, Arau, Perlis mewujudkan sebuah galeri persendirian di depan rumahnya sejak hampir 20 tahun lalu.
Mohamad Jusoh Md. Isa, 63, membina galeri itu di bahagian ruang tamu kediamannya sejak 2008 dengan menggunakan komponen yang masih baik dari sebuah rumah kayu lama.
Sehingga kini, galeri tersebut mengumpulkan lebih 300 barangan bersejarah dan antik, termasuk yang tiada di pasaran.
Antara koleksi itu ialah bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan 11 jalur yang digunakan dari 1957 sehingga 1963.
Terdapat juga sebuah manuskrip lama berkaitan petua ubat-ubatan tradisional di samping kad jemputan pertabalan Raja Perlis, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail pada 1949.

Malah, patplut atau lesung api yang digunakan secara meluas di Tanah Melayu suatu ketika dahulu dan peralatan bagi memproses padi turut menjadi antara koleksi unik di galeri berkenaan.
Mohamad Jusoh mula mengumpul barangan tersebut sejak 1982 dan membelanjakan kira-kira RM20,000 bagi mendapatkan koleksi bersejarah itu.
Selain milik peribadi, ia turut dihadiahkan kenalan dan dibeli dalam talian dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), India serta Indonesia.
Katanya, setiap koleksi itu mempunyai nilai sejarah tersendiri dan kebanyakannya masih berfungsi dengan baik.
“Selain sukakan barangan antik, setiap koleksi yang diperolehi itu mestilah bersejarah kerana kita hendak tahu apa kisah di sebaliknya,” kata bapa kepada empat anak ini.
Dia yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Perlis berkata, usaha bagi mengumpulkan koleksi-koleksi itu juga bertujuan memupuk semangat cintakan warisan dan sejarah negara agar tidak luput ditelan zaman.
“Mungkin ramai yang tahu mengenai sesuatu barangan lama tapi mereka tidak dapat lihat secara nyata kerana sukar dijumpai.
“Oleh sebab itu, saya cuba simpan koleksi bersejarah ini agar dapat ditatap generasi akan datang,” katanya.

Enggan jual
Sebelum ini, beberapa individu berminat membeli koleksinya, namun terpaksa ditolak kerana barangan berkenaan mempunyai nilai tersendiri.
Bagaimanapun, dia tidak keberatan untuk meminjamkan item tersebut bagi digunakan dalam program-program tertentu mahupun pameran umum.
“Ramai yang hendak pinjam barangan ini untuk tujuan pameran dan sebagainya, saya izinkan asalkan dapat dijaga dengan baik,” katanya.
Galeri Cikgu Jusoh ini sering menerima pelawat dalam kalangan pelajar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melihat secara dekat koleksi bersejarah tersebut.
“Malah, terdapat juga penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang kerap ke sini untuk melakukan kajian berkaitan sejarah,” katanya.











