KUALA LUMPUR: Bekas model yang didakwa memuat naik sijil pernikahan palsu bersama Tengku Mahkota Johor di akaun TikTok miliknya, hujung Februari lalu, layak dibicarakan di mahkamah.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham selepas menerima laporan perubatan psikiatri forensik tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43.
“Laporan perubatan psikiatri telah diterima. Berdasarkan laporan ini, tertuduh layak untuk dibicarakan di mahkamah,” katanya.
Mendengar perkara itu, peguam bela, Jefvinder Singh berkata, pihaknya akan meneliti dokumen-dokumen kes tersebut sebelum mengemukakan representasi.
Hakim Suhaila Haron kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 13 Oktober ini selain menetapkan tarikh perbicaraan bermula 3 hingga 5 Disember depan.
Pada 22 Julai lalu, Persana Avril diperintah menjalani rawatan dan pemerhatian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Norma Ismail selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ravendejit Kaur bagi mendapatkan laporan kesihatan mental wanita berkenaan sebelum prosiding selanjutnya diteruskan.
Pada prosiding sebelum ini, Persana Avril mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik sijil pernikahan palsu dengan Tengku Mahkota Johor di akaun TikTok miliknya, 25 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali. – UTUSAN








