KOTA KINABALU: Seramai 13 orang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Penampang, Kota Kinabalu dan Papar sejak 12 September lalu.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah itu membabitkan dua lelaki dewasa, empat perempuan, lima kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Mangsa-mangsa yang terlibat adalah dari Kampung Sarapung Kolopis, Penampang; Kampung Cendera Kasih, Kolombong, Kota Kinabalu; Kampung Marahang Gana dan Kampung Mook, Kinarut, Papar.
Sementara itu, seramai 2,533 penduduk dengan 668 Ketua Isi Rumah (KIR) terjejas ekoran bencana banjir, tanah runtuh dan kebakaran sejak minggu lalu.
Kesemua mereka kini ditempatkan di sebanyak 22 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah di Sabah.
Daripada jumlah itu, Penampang merekodkan mangsa paling ramai dengan 224 KIR (910 orang), diikuti Membakut (172 KIR, 611 orang), Beaufort (83 KIR, 273 orang), Putatan (113 KIR, 456 orang), Papar (65 KIR, 224 orang) dan Tawau (11 KIR, 59 orang).
“Status terkini menunjukkan penempatan mangsa di beberapa PPS kekal, manakala terdapat trend menurun di Penampang dan meningkat di Papar,” katanya.
Antara PPS yang masih aktif termasuk PPK Selagon (Beaufort), SK St Paul Kolopis, Dewan Huguan Siou, Kompleks Sukan Penampang, Dewan Inobong, Dewan Raya Bukitas, Parish Hall (Penampang), Masjid Al-Aman (Tawau), Dewan Masyarakat Bongawan, SJK(C) Pei Yin, SMK Bongawan (Membakut), Dewan Masyarakat Papar, Dewan Lok Kawi Heights, Balai Raya Kg Mook (Papar), serta beberapa dewan di Putatan.
JPBN Sabah memaklumkan angka penduduk terjejas dijangka berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca serta penilaian keselamatan oleh agensi berkaitan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seramai tujuh orang disahkan meninggal dunia dan tiga lagi masih belum ditemukan dalam tiga kejadian tanah runtuh yang berlaku sejak semalam.
Dua daripada mangsa yang maut adalah daripada Kampung Mook, Papar manakala lima lagi maut dalam kejadian di Kampung Cenderakasih, Kolombong, Inanam dekat sini.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Dua mangsa turut ditemukan tertimbus dalam kejadian Kampung Marahang Tuntul, Papar namun keadaan mereka masih belum dapat dipastikan.
Mereka yang masih belum ditemukan dalam runtuhan tanah tersebut ialah dua di Kampung Cendera Kasih dan seorang di Kampung Marahang Tuntul, Papar. – UTUSAN










