PETALING JAYA: Walaupun peluang untuk berlabuh dan menjejakkan kaki ke bumi Gaza hanya sekitar 35 peratus, sejumlah 14 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) tetap diteruskan untuk memecahkan kepungan di bumi Gaza oleh rejim Zionis.
Pelayaran kemanusiaan terbesar dalam sejarah Flotila sejak 2008 itu, kini disertai lebih 40 kapal dengan kekuatan 1,000 peserta dari seluruh dunia.
Eksekutif Strategik (Perhubungan Awam) Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhd. Haikal Luqman Zulkefli berkata, walaupun peratus itu rendah namun misi kali merupakan kesinambungan daripada bantuan kemanusiaan melalui koridor laut yang digerakkan misi Flotilla sejak 2008.
Katanya, berdasarkan sejarahnya, misi Flotila sebelum ini walaupun gagal memecah kepungan di bumi Gaza namun memberi impak besar dalam bentuk tekanan oleh masyarakat antarabangsa terhadap kerajaan Zionis.
“Tujuan utamanya bukanlah untuk sampai di Gaza semata-mata, paling penting adalah menggesa pemimpin dunia untuk memandang dan memfokuskan perhatian mereka terhadap apa yang sedang berlaku di Gaza.
“Jika sebelum ini hanya dengan pelayaran sebuah kapal mampu membuka mata pemimpin-pemimpin dunia Arab dan Barat bayangkan misi kali ini disertai oleh lebih 40 kapal. Jadi dengan ini kita percaya ia dapat memecahkan kepungan di bumi Gaza.
“Sekiranya ini berlaku, ia akan membuka koridor baharu untuk bantuan kemanusiaan melalui lautan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau yang menyertai misi itu berkata, walaupun peratusan untuk tiba di bumi Gaza hanyalah 35 peratus kerana sekatan oleh rejim negara haram tetap akan berlaku namun pihaknya percaya pelayaran kali ini tidak akan menjadi misi terakhir GSF sebaliknya membuka ruang gelombang baharu di masa depan.
“Kita sedia maklum bahawa Israel akan mengenakan sekatan terhadap kami dan dilabelkan sebagai pengganas tetapi misi ini tetap akan dilaksanakan dengan bantuan-bantuan guaman tempatan dan antarabangsa.
“Pada masa sama, kita juga mendapat sokongan daripada Kerajaan Malaysia sendiri melalui Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Luar membabitkan semua kedutaan besar berdekatan dengan Palestin iaitu di Jordan, Lubnan dan Mesir supaya bantuan dapat diberikan sekiranya berlaku insiden terhadap peserta misi,” katanya. – UTUSAN











