PETALING JAYA: Skuad bawah 23 (B-23) negara tiada pilihan selain menebus kehampaan selepas kegagalan dalam Piala Mandiri dan Kelayakan Piala Asia B-23 dengan wajib merangkul pingat emas di Sukan SEA di Thailand pada Disember ini.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim menegaskan, Sukan SEA kali ini perlu dijadikan medan kebangkitan kerana Malaysia sudah terlalu lama tidak menggenggam pingat emas selepas kali terakhir menggenggam pingat tersebut pada edisi 2011 di Jakarta-Palembang.
“Kita mesti letakkan sasaran ke final. Paling penting, pastikan kita muncul juara kumpulan supaya pasukan lain sedar skuad B-23 kali ini berbeza daripada kegagalan lalu,” katanya.
Beliau juga berkata, pemilihan pemain aktif yang benar-benar cergas dan mendapat minit permainan di peringkat kelab perlu menjadi keutamaan, bukan sekadar bergantung kepada nama besar.
“Kalau pemain asyik duduk di bangku simpanan, tiada guna bawa dia ke skuad kebangsaan. Ambil mereka yang betul-betul bermain secara konsisten.
“Body fitness dan match fitness hanya boleh diperoleh melalui aksi bersama kelab,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Zakaria, jurulatih kebangsaan Nafuzi tidak wajar dipersalahkan sepenuhnya atas kegagalan lalu kerana beliau hanya menerima pemain dalam tempoh singkat sebelum kejohanan.
“Kalau pemain tidak aktif, sukar nak terapkan taktikal pressing tinggi atau permainan pantas. Tahap kecergasan mereka rendah, tidak mampu berlari 90 minit penuh,” jelasnya.
Zakaria tidak menolak cadangan reformasi baharu dalam pembangunan bola sepak negara, namun sebaliknya menyifatkan sikap pemain menjadi punca utama.
“Masalah paling besar ialah disiplin ketika latihan, gaya hidup dan pemakanan atlet. Tanpa perubahan pada diri pemain sendiri, apa juga program pembangunan tidak akan berhasil,” tegasnya.
Beliau menambah, jurulatih juga perlu berperanan lebih tegas dalam mendidik pemain dan tidak sekadar “melengkapkan jadual” latihan. – UTUSAN










