Belanjawan 2026 perlu fokus pada kestabilan kos, dasar

Belanjawan 2026 perlu fokus pada kestabilan kos, dasar

WILLIAM NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 perlu memberi penekanan terhadap kestabilan kos dan kepastian dasar dalam mengemudi pasaran yang semakin mencabar, kata Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

Presidennya, Datuk William Ng berkata, tinjauan persatuan mendapati 40 peratus perusahan kecil dan sederhana (PKS) menyatakan inflasi sebagai cabaran utama, manakala 42 peratus melaporkan beban pematuhan semakin meningkat. 

“Maka, kerajaan perlu membekukan kenaikan caj dan fi sekurang-kurangnya 24 bulan, sambil memperkukuh insentif digitalisasi, automasi dan produktiviti.

“Akses pembiayaan masih menjadi isu kritikal iaitu 70 peratus PKS hanya mempunyai simpanan tunai untuk kurang daripada enam bulan operasi dan 14 peratus masih bergelut mendapatkan kredit. 

“Apa yang diharapkan adalah dana dengan kadar faedah serendah dua peratus, jaminan kerajaan serta lebih banyak saluran alternatif seperti antara rakan setara (P2P) dan pembiayaan berasaskan hasil untuk syarikat baharu dan kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

William berkata, dalam keadaan ramai PKS merancang menaikkan harga lima hingga 10 peratus bagi menampung kos, terdapat keperluan untuk bantuan terus untuk kos tenaga kerja, subsidi upah bersasar serta insentif automasi.

Pada masa sama, beliau berkata, hanya 13 peratus PKS yang benar-benar bergantung kepada eksport. 

“Jadi, Belanjawan 2026 perlu menggalakkan penerokaan pasaran baharu, terutama intra ASEAN supaya konsep ‘Made by Malaysia’, yakni reka bentuk, harta intelek (IP) dan kepakaran teknikal Malaysia walaupun pengeluaran boleh di mana sahaja di ASEAN dapat diperkukuh.

“Tinjauan Samenta mendapati 74 peratus PKS sudah ada pelan latihan formal, kebanyakannya dalam kemahiran insaniah dan digital. 

“Namun jurang kemahiran masih ketara, dengan tempoh pengambilan pekerja boleh mengambil masa satu hingga empat bulan,” jelasnya.

Tambahnya, PKS berharap Belanjawan 2026 menyediakan peruntukan lebih besar untuk program place-and-train, insentif pengambilan pekerja baharu serta latihan digital dan teknikal yang lebih mendalam.

“Walaupun semakin ramai PKS sudah mempunyai dasar alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), rata-rata PKS menyebut kos dan kekurangan maklumat sebagai halangan utama. 

“Kami menggesa kerajaan menyediakan potongan cukai, geran padanan dan ‘playbook’ sektor khusus, sambil mengecualikan mikro dan kecil daripada mandat ESG yang tidak seimbang. 

“Dalam teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), sokongan mesti platform-neutral agar PKS boleh memilih penyelesaian terbaik mengikut sektor dan saiz mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×