ALOR SETAR: Dewan Ulama Pas yakin muktamar kali ini menjadi titik tolak kepada parti itu untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) hasil kesatuan serta kekuatan jemaah parti yang dibina semula.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, syarat kemenangan perlu dilengkapkan termasuk usaha mendidik masyarakat khususnya pengundi termasuk dalam kalangan perwakilan mahupun ahli parti itu.
“Tanggungjawab ini dipikul Dewan Ulama dan semua perwakilan untuk menyantuni rakyat serta memberi khidmat bakti, lebih-lebih lagi wakil rakyat. Sejarah menunjukkan setiap kali Pas bermuktamar di Kedah, Allah anugerahkan kejayaan besar.
“Pada 2017 kita bermuktamar di Kedah, pada 2020 Allah anugerahkan Pas Kedah untuk bentuk kerajaan. Pada 2022 muktamar juga di sini dan pada 2023 kita berjaya kukuhkan kerajaan.
“Saya sangat optimis. Insya-Allah 2025 ini menjadi titik tolak ke Putrajaya bagi membolehkan Pas memimpin Malaysia, dari Kedah ke Putrajaya,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-71, di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun mengingatkan cabaran di hadapan semakin besar terutama apabila parti semakin hampir dengan kemenangan. – UTUSAN










