PETALING JAYA: Kekuatan Malaysia terletak pada rakyat yang sentiasa menyemarakkan nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti, di samping didukung institusi kenegaraan serta pentadbiran yang berwibawa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ini diasaskan melalui pengorbanan generasi terdahulu yang bermandi darah, keringat dan air mata demi menyalakan obor kebebasan untuk diwarisi generasi hari ini.
“Walhasil, amanah yang kita pikul hari ini adalah memastikan obor itu terus menyemarak sebagai panduan dalam menempuh cabaran era baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata, tanggal 16 September saban tahun menjadi peringatan penting tentang sejarah penyatuan wilayah-wilayah berbeza latar dan budaya ke dalam satu cita nasional yang dikenali sebagai Malaysia.
“Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati kelahiran negara bangsa, tetapi menjadi lambang tekad leluhur yang berani menentang penjajahan, menolak penyelewengan serta menjunjung maruah bangsa dalam sebuah kesatuan yang berbilang tetapi berpadu.
“Inilah harinya kita memperbaharui tekad untuk meraikan kerencaman sebagai rahmat yang memperkukuh asas persaudaraan,” katanya.
Anwar menyeru seluruh rakyat untuk menyemarakkan Hari Malaysia dengan memperkukuh iltizam dan cita-cita murni, berpegang pada kerangka yang menjunjung maruah insan, menolak kebejatan, menghindari perpecahan serta mengangkat Malaysia sebagai contoh kepemimpinan berwibawa di rantau ini dan di peringkat antarabangsa.
“Malaysia mesti terus ditampilkan sebagai tanah yang adil, makmur dan madani untuk diwariskan kepada anak cucu sebagai negara bangsa yang teguh serta bermaruah,” katanya.










