PETALING JAYA: Kira-kira 400 pengunjung sebuah tapak perkhemahan di Kuala Kubu Bharu dekat sini berdepan detik cemas apabila kawasan perkelahan itu tiba-tiba dilanda kepala air awal pagi semalam.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Harashid Rusli berkata, air deras yang melimpah dari sungai berhampiran menyebabkan kesemua mangsa terperangkap di khemah masing-masing sekitar pukul 5.47 pagi sebelum bantuan tiba.
Katanya, enam anggota bergegas ke lokasi dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).
“Semua pengunjung diarahkan ke kawasan lebih tinggi bagi mengelak risiko dihanyutkan arus deras. Anggota bomba melakukan pemantauan rapi sehingga paras air mula surut,” katanya.
Beliau berkata, keadaan bertambah baik apabila hujan yang mencetuskan limpahan air reda dan paras sungai kembali surut.
“Semua mangsa dilaporkan selamat dan tiada kecederaan atau kehilangan nyawa direkodkan sepanjang operasi,” katanya.
Harashid berkata, operasi pemantauan turut dijalankan sehingga keadaan benar-benar terkawal bagi memastikan keselamatan pengunjung.
“Keseluruhan operasi tamat selepas paras air di kawasan berkenaan kembali surut sepenuhnya,” katanya. – UTUSAN










