PETALING JAYA: Semua negara perlu memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel sehingga kekejaman rejim zionis itu berhenti dan hak Palestin dipulihkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dunia tidak boleh lagi berdiam diri terhadap kekejaman rejim Zionis Israel, sebaliknya perlu menghentikan segala hubungan diplomatik dan perdagangan.
Beliau berkata, kecaman semata-mata tidak lagi memadai dan kenyataan sahaja tidak akan menghentikan bedilan roket dan peluru berpandu.
Tambah beliau, tindakan rejim itu menyerang Doha bukan sahaja satu pencabulan kedaulatan Qatar, malah satu tindakan rakus dan biadab yang melanggar tatanan undang-undang antarabangsa serta provokasi berbahaya yang mengancam kestabilan dan keselamatan rantau.
“Tindakan Israel menyerang Doha seolah-olah mahu merobek peranan besar negara itu di bawah kepimpinan Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani sebagai perantara perdamaian.
“Menyerang Doha bererti merobek usaha mulia tersebut dan ia mesti dianggap sebagai serangan terhadap kita semua, seluruh dunia Arab, Islam dan masyarakat antarabangsa yang mendambakan keamanan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar, malam tadi.
Anwar turut mengingatkan dunia bahawa Gaza masih terus ditenggelami darah dan runtuhan, manakala hospital dibedil serta anak-anak tidak berdosa menjadi korban.
“Israel kini menolak kewujudan negara Palestin, mengisytiharkan bentuk apartheid kekal dan menafikan hak rakyat Palestin menentukan masa depan sendiri,” katanya.
Menurut beliau, Malaysia berdiri teguh bersama Qatar, Palestin dan setiap bangsa yang menuntut keadilan serta keamanan.
“Inilah saatnya untuk kita bukan sahaja bersuara, tetapi bertindak,” katanya. – UTUSAN











