Corak bertahan bantu Kelantan TRW lolos suku akhir

Corak bertahan bantu Kelantan TRW lolos suku akhir

Penyerang Kuala Lumpur City FC, Safawi Rasid diasak pemain Kelantan The Real Warriors FC, Sebastian Osbol Avanzini dalam saingan Piala FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, kelmarin. Kelantan TRW tewas 1-0, namun mara ke suku akhir selepas menang dengan agregat 3-2. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekalan kemenangan 3-1 di Kota Bharu menjadi penyelamat buat Kelantan The Real Warriors FC (TRW) untuk mara ke suku akhir Piala FA apabila tewas 0-1 kepada Kuala Lumpur (KL) City pada aksi timbal balik di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, kelmarin.

Skuad bimbingan E Elavarasan mara menerusi agregat 3-2 selepas berjaya bertahan mengekang asakan bertali arus tuan rumah sepanjang 90 minit permainan.

Gol tunggal Victor Ruiz pada minit ke-70 seperti memberi sinar buat KL City bangkit, namun ia belum cukup untuk mereka mencipta keajaiban.

Pengendali Kelantan TRW, Elavarasan, mengakui kemenangan di laman sendiri sebelum ini menjadi kunci utama anak buahnya kekal bersaing di pentas piala berprestij itu.

“Kita pun tahu perlawanan ini adalah 50/50 dan memang satu lagi perlawanan sebelum ke peringkat seterusnya. Kita ada kelebihan dengan kemenangan di tempat sendiri sebelum ini.

“Itu yang memberi kelebihan untuk kita tetapi saya rasa kita bernasib baik. Dalam pertandingan piala seperti ini, penyokong hanya mahu lihat langkah seterusnya,” katanya.

Bekas penolong jurulatih Harimau Malaya itu turut berkata, dalam saingan piala, penyokong tidak akan mengingati keputusan di pertengahan jalan, sebaliknya lebih menilai sejauh mana pasukan mampu mara.

“Sekurang-kurangnya kita dapat melangkah ke satu tahap lebih tinggi iaitu ke suku akhir. Jadi kita rasa gembira dengan pencapaian ini,” ujarnya.

Pengendali berusia 62 tahun itu, turut memuji disiplin tinggi anak buahnya yang berjuang bermati-matian bertahan bagi mengekang setiap gerakan berbahaya KL City.

Kelantan TRW kini berkemungkinan besar akan berdepan Sabah FC pada aksi suku akhir berikutan lawannya itu membawa bekalan selesa dengan agregat 6-0 menjelang aksi timbal balik berdepan Bunga Raya FC. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×