Razan al-Najjar bidadari syurga yang dirindui - Utusan Malaysia

Razan al-Najjar bidadari syurga yang dirindui

Razzan Al-Najjar dikatakan pernah menyuarakan isi hatinya untuk gugur sebagai syahid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerana yakin enam janji Allah SWT terhadap hambanya yang mati syahid, seorang wanita Palestin tidak teragak-agak meletakkan imannya di tahap tertinggi.

Selain syurga menjadi rebutan, empunya nama Razzan Al-Najjar menempa nama sebagai insan terpilih yang akan memilih 70 anggota keluarga lain untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Itu adalah antara intipati matan hadis riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah mengenai sabda Rasulullah SAW terhadap orang yang mati syahid di sisi Allah.

Razan dikatakan pernah menyuarakan isi hatinya untuk gugur sebagai syahid.

Permintaan itu dimakbulkan oleh Allah apabila dia maut ditembak pada 1 Jun 2018.

Bidadari syurga ini dijemput pulang ke negeri abadi pada hari Jumaat, tiga tahun lalu.

SAAT DITEMBAK ZIONIS

“Dia berdiri di depan saya sambil tersenyum dan berkata akan pergi ke kawasan protes.”

Itu kata-kata terakhir yang masih terngiang-ngiang di telinga Sabreen Al-Najjar, 43, ketika menceritakan detik anak sulungnya mati ditembak tentera Zionis Israel.

Protes yang diadakan oleh penduduk Palestin sejak 30 Mac 2018 berlangsung di kawasan sempadan berpagar.

Anak perempuan Sabreen, Razan yang berusia 21 tahun ketika itu antara salah seorang rakyat Palestin yang menjadi sukarelawan sebagai paramedik untuk membantu individu yang mengalami kecederaan akibat ditembak oleh penembak hendap Zionis.

“Dalam sekelip mata dia sudah keluar. Saya berlari ke balkoni untuk melihatnya di luar tetapi dia sudah berada di penghujung jalan.

“Dia seolah-olah terbang seperti burung di hadapan saya,” kongsinya.

Di kawasan protes di Khuza, saksi berkata, Razan menghampiri kawasan berpagar dengan jaket perubatan sambil kedua-dua tangannya diangkat untuk menunjukkan kepada tentera Israel dia tiada membawa sebarang ancaman dalam jarak 100 meter.

Niatnya hanya mahu menyelamatkan peserta protes yang cedera berbaring di atas tanah.

Tidak semena-mena, Razan ditembak di bahagian dada dengan peluru hidup yang menembusi di belakang jaketnya.

Dia menjadi mangsa ke-119 yang dibunuh oleh Zionis Israel sejak protes #GreatReturnMarch yang bermula sejak Mac 2018, sementara lebih 13,000 individu mengalami kecederaan.

Great Return March merupakan perjuangan daripada rakyat Palestin dalam mengembalikan hak dan kebebasan mereka.

Mereka mahu meraih sokongan seluruh dunia bagi mengangkat martabat nilai keadilan dan keamanan untuk Palestin.

HANYA PETUGAS PERUBATAN

Rida Najjar, 29, juga merupakan sukarelawan perubatan ketika itu.

Dia berdiri bersebelahan Razan semasa wanita itu ditembak.

“Semasa kami memasuki kawasan pagar untuk membawa peserta protes, tentera Israel menembak gas pemedih mata.

“Tiba-tiba tembakan dari penembak tepat menghala ke arah Razan sehingga menyebabkan tiga anggota perubatan lain cedera akibat terkena serpihan peluru hidup itu.

“Pada mulanya, Razan tidak menyedari dirinya ditembak sebelum dia mula menangis. Belakang saya, belakang saya! Kemudian dia terjatuh ke tanah.

“Ketika itu sangat jelas daripada uniform, jaket dan beg perubatan yang kami pakai. Malah, tiada kelibat peserta protes lain di sekitar kami,” tegasnya.

MAHU MATI SYAHID

Menerusi temu ramah dengan Al-Jazeera pada 20 April 2018, Razan berkata, sudah menjadi tanggungjawabnya datang ke kawasan protes bagi membantu individu yang cedera.

“Tentera Israel berniat menembak seramai mangsa yang boleh. Perkara itu sangat tidak masuk akal dan saya berasa malu sekiranya tiada di sana untuk membantu penduduk saya sendiri,” kongsinya.

The New York Times pernah mewawancara dirinya dan Razan memberitahu dia sangat teruja dengan pekerjaan yang dilakukan sekarang.

“Kita hanya mempunyai satu matlamat untuk menyelamatkan nyawa dan mangsa yang tercedera.

“Kita lakukan demi negara kerana ia adalah kerja-kerja kemanusiaan,” ujarnya.

Razan malah mengabaikan pandangan serong masyarakat apabila melihat golongan wanita bekerja di lapangan kerana dia sendiri bekerja selama 13 jam dari pukul 7 pagi hingga 8 malam.

Boleh sahaja Razan memilih hanya bekerja di hospital, namun, jiwa mudanya mahu berada di barisan hadapan bersama rakan sejawatan lain di lapangan.

“Setiap hari akan ada yang gugur syahid di Gaza dan mereka itu lebih mulia dari saya. Saya mengharapkan akan syahid seperti mereka,” katanya.

SUKARELAWAN BERHATI MULIA

Menurut Sabreen, anaknya menjadi petugas barisan hadapan sejak 30 Mac 2018.

Wajahnya dikenali semasa pelarian ditempatkan di kem penempatan sementara Khan Younis yang merupakan salah satu daripada lima kem dipasang sepanjang kawasan timur Semenanjung Gaza.

“Dia tidak pernah menghiraukan apa orang cakap. Dia sentiasa fokus dengan kerjanya di lapangan sebagai sukarelawan perubatan yang menggambarkan kekuatan dan kesungguhannya.

“Anak perempuan saya tiada sebarang senjata, dia adalah petugas perubatan. Dia memberikan banyak sumbangan kepada ramai orang,” jelasnya.

UMPAMA MALAIKAT RAHMAT

Ribuan penduduk menghadiri majlis pengebumian Razan pada hari Sabtu, 2 Jun 2018 di Khuza.

Jenazahnya diberikan penghormatan dengan dibawa menyelusuri jalan di Gaza dengan dibalut bendera Palestin.

Rakaman video menunjukkan rakan sekerjanya dihujani air mata di kawasan hospital seperti tersebar dalam media sosial.

Wajah mereka sugul dan terkejut. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa remuknya hati mereka bagai dihiris dengan sembilu.

Tanda pagar ‘Angel of Mercy’ (Malaikat Rahmat) merujuk kepada keperibadian Razan menjadi tular dalam Twitter.

Penduduk dunia juga turut mengecam pembunuhan tidak berperikemanusiaan itu.

Sebelum jenazah Razan tiba di kawasan perkuburan, ayahnya membawa keluar jaket perubatannya yang berlumuran darah.

“Inilah dia senjata Razan,” katanya sambil mengeluarkan pembalut luka daripada poket jaket tersebut. – AL-JAZEERA/Agens

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×