KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menghadiri Forum Beijing Xiangshan ke-12 di Beijing selama tiga hari bermula Rabu ini.
Forum keselamatan dan pertahanan yang bertemakan ‘Menegakkan Perintah Antarabangsa dan Memupuk Pembangunan Keamanan Bersama’ itu menghimpunkan pemimpin serta delegasi dari lebih 100 negara.
Mohamed Khaled dijadual menyampaikan pendirian Malaysia pada sesi plenari kedua, Khamis ini.
Beliau yang tiba di Beijing lewat malam tadi untuk lawatan kerja empat hari berkata, ini merupakan lawatan rasmi pertamanya ke republik berkenaan selaku Menteri Pertahanan.
Sepanjang berada di Beijing, Mohamed Khaled akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Nasional China, Laksamana Dong Jun; Menteri Pembangunan Peralatan Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, Jeneral Xu Xueqiang serta Menteri Hal Ehwal Veteran, Pei Jinjia.
“Saya juga akan bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja, Jeneral Tea Seiha yang turut menghadiri Beijing Xiangshan Forum,” katanya di akaun Facebook miliknya.
Selain itu, Mohamed Khaled akan melawat beberapa syarikat industri utama antaranya CASIC Group, CPMIEC, NORINCO, Sinovac Biotech dan CATIC.
Lawatan itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Boustead Holdings Berhad dengan sebuah syarikat tempatan. – UTUSAN










