SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan seorang anggota tentera, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar yang dilaporkan hilang sejak 12 September lalu ketika bertugas dalam Operasi Pasir di Pulau Mataking di sini diteruskan.
Menurut Komander Markas Angkatan Tugas Bersama 2, Brigadier Jeneral Abd Munir Abd Rani, pencarian pada hari kedua anggota tentera dari Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) itu meliputi kawasan seluas 108 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada 15 sektor.
“Operasi ini melibatkan pelbagai agensi keselamatan termasuk. Walaupun keadaan laut berombak antara 0.5 hingga 1.0 meter dengan angin timur tenggara 10 hingga 20 kilometer sejam, operasi tetap giat dijalankan siang dan malam bagi mengesan anggota yang masih hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Abd Munir berkata, jenazah seorang lagi anggota, Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah yang ditemukan telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Toh Puan Rahmah, Kampung Kuala Pari Tengah Ipoh, Perak hari ini.
Katanya, upacara pengebumian tersebut dijalankan pukul 12.00 tengah malam tadi dan urusan tersebut dijalankan oleh 5 RAMD dengan penuh penghormatan ketenteraan.
Semalam media melaporkan seorang anggota tentera ditemukan maut manakala seorang lagi masih hilang ketika bertugas di Pos Gabungan PDRM-ATM, Pulau Mataking, Semporna.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, kedua-dua anggota tentera itu yang sedang menjalankan Operasi Pasir Sektor Semporna Siri 3/2025 di Pulau Mataking, didapati tidak berada dalam barisan semasa semakan rutin.
Susulan kejadian itu, pencarian digerakkan dengan bantuan semua anggota tentera di lokasi sebelum mendapatkan bantuan bot daripada pihak resort berhampiran.-UTUSAN.










