Polis siasat sindiket tempatan dalam rampasan dadah Myanmar

Polis siasat sindiket tempatan dalam rampasan dadah Myanmar

HUSSEIN OMAR KHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemungkinan pembabitan sindiket tempatan yang berhubung dengan rangkaian antarabangsa susulan rampasan besar-besaran dadah di Myanmar baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan menjurus kepada kerjasama kumpulan pengedaran dalam negara dengan sindiket antarabangsa terbabit.

“Pihak kami sedang meneliti pembabitan sindiket tempatan berhubung rampasan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Media tempatan Myanmar semalam melaporkan kejayaan pasukan antinarkotik negara itu menumpaskan sindiket penyeludupan dadah dalam kuantiti besar yang dipercayai untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Operasi di Perbandaran Shwepyitha, Yangon pada 5 September lalu menyaksikan enam suspek diberkas dengan rampasan melibatkan 1,840 kilogram (kg) syabu, empat juta pil perangsang dan 14 kg heroin yang disorok di sebuah gudang.

Menurut pihak berkuasa Myanmar, bekalan dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari Negeri Shan sebelum diarahkan ke Malaysia sebagai destinasi penghantaran utama.

Laporan turut mendakwa kesemua suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan bersenjata Arakan Army, manakala siasatan mendapati rangkaian pengedaran itu turut meliputi Bangladesh, negara-negara Asia Barat dan Barat.

“Dalam operasi berasingan pada Ogos lalu, pihak berkuasa negara itu turut merampas pil amphetamine, syabu dan ketamin dianggarkan bernilai RM300 juta (AS$71 juta) selepas beberapa ketua sindiket diberkas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×