Suami tikam isteri, kawan lelaki lebih 20 kali

Suami tikam isteri, kawan lelaki lebih 20 kali

BADERULHISHAM Baharudin menunjukkan pisau digunakan suspek yang menikam mati isterinya dan rakan lelaki dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Lelaki yang diberkas kerana membunuh isteri dan rakan lelaki wanita itu dipercayai menikam dan mengelar kedua-dua mangsa hampir 30 kali dalam kejadian di Taman Nona, Guar Chempedak pada Khamis lalu.

Polis mengesahkan suspek berusia 29 tahun yang memiliki dua anak bersama wanita itu disyaki berbuat demikian kerana mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa lelaki yang merupakan peniaga telefon bimbit.

Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, mangsa wanita berusia 28 tahun meninggal dunia akibat 20 kecederaan tikaman serta kelaran dengan pisau di bahagian dada, leher, tangan dan kaki.

Katanya, mangsa lelaki berusia 30 tahun pula mengalami kecederaan tikaman dan kelaran sebanyak lapan kali dengan senjata sama di dada, leher dan belakang badan yang turut disahkan sebagai punca kematian.

“Hasil siasatan mendapati suspek merupakan suami kepada mangsa wanita dan polis telah berjaya menahan lelaki terbabit yang berasal dari sebuah negeri di pantai timur.

“Kami juga berjaya menemui sebilah pisau pada semalam yang mana ia dipercayai dibuang suspek di kawasan semak di tepi jalan di Sungai Petani sebelum melarikan diri ke kampung halamannya,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Akhbar ini pada Jumaat lalu melaporkan, dua individu ditemukan mati akibat ditikam bertubi-tubi dengan mangsa wanita dijumpai di dalam kereta jenis Proton Wira sementara mangsa lelaki tertiarap di atas jalan di sebuah rumah di Taman Nona, sekitar pukul 9.40 malam.

Baderulhisham berkata, suspek dan mangsa wanita terbabit mendirikan rumah tangga di negara jiran pada 2019 dan dikurniakan dua anak lelaki berusia dua dan empat tahun.

“Perkahwinan mereka ini berlangsung di negara seberang, jadi kami perlu buat siasatan dengan lebih lanjut berhubung status perkahwinan mereka,” katanya. 

Mengulas lanjut, Baderulhisham berkata, suspek disyaki mengumpan mangsa kononnya mahu membeli telefon bimbit sebelum menyerang mereka di lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, suspek menggunakan kereta jenis Perodua Bezza yang disewa, manakala pisau terbabit dipercayai dibeli di sebuah kedai,” jelasnya.

Kata beliau, semakan mendapati suspek mempunyai rekod di bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan yang mana dia disyaki cuba melanggar mangsa lelaki pada Ogos lalu, namun diberi jaminan polis sementara menunggu laporan perubatan bagi kes itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×