KUCHING: Pendidikan percuma yang akan dilaksanakan Kerajaan Sarawak bermula tahun depan dijangka menelan perbelanjaan kira-kira RM400 juta setahun dan meningkat sehingga RM1 bilion pada tahun ketiga pelaksanaannya.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah besar itu mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memastikan rakyat menikmati akses pendidikan berkualiti tanpa terbeban dengan kos pengajian.
“Tahun kedua, kita perlu bayar untuk dua kohort. Tahun ketiga, tiga kohort pula. Jadi akhirnya jumlahnya akan melebihi RM1 bilion,” katanya pada Majlis Perasmian Hostel Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dan Sambutan Ulang Tahun ke-70 DBNA di sini, malam tadi.
Menjelas lanjut katanya, kos pelaksanaan pendidikan percuma itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menerusi hasil pendapatan sendiri yang semakin kukuh.
“Sejak kita berjaya menambah hasil negeri, kita pulangkan semula kepada rakyat, khususnya yang di luar bandar, anak petani, anak nelayan yang mempunyai potensi.
“Bukan mudah untuk membayar yuran pengajian di universiti tetapi kali ini, kita berikan percuma kepada mereka,” katanya.
Abang Johari turut menekankan bahawa pendidikan adalah kunci kepada pengurangan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, khususnya dalam melahirkan masyarakat berpengetahuan tinggi.
“Melalui pendidikan percuma, anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan akan turut berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tanpa memikirkan masalah kewangan.
“Inilah komitmen kita. Jangan kerana tiada wang, anak-anak Sarawak tercicir daripada mengejar cita-cita mereka,” tegasnya.
Abang Johari berkata, dengan pelaksanaan pendidikan percuma, Sarawak akan mampu melahirkan lebih ramai golongan profesional dan saintis tempatan yang akan mengisi pelbagai sektor strategik pada masa depan. – UTUSAN










