Pendakwa Raya perlu dilindungi Perlembagaan

Pendakwa Raya perlu dilindungi Perlembagaan

SHAMRAHAYU AB. AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatan Pendakwa Raya perlu diwujudkan secara khusus dan di­lindungi Perlembagaan bagi memastikan proses pendakwaan benar-benar bebas daripada pengaruh politik.

Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz berkata, cada­ngan itu pen­ting kerana pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya hanya berkesan sekiranya individu dilantik mempunyai kewibawaan tinggi serta dilin­dungi un­dang-undang da­ri­pada tekanan politik.

Katanya, kriteria pelantikan dan aspek keselamatan jawatan perlu ditetapkan dengan jelas supaya Pendakwa Raya tidak boleh dipecat sewenang-wenang­nya.

“Sebagai rujukan, kedudukan Ketua Hakim Negara dan Ketua Audit Negara yang dilindungi melalui Perkara 125 dan Perkara 105 Perlembagaan wajar dijadi­kan contoh.

“Ini bermakna jawatan Pendakwa Raya perlu diwujudkan secara khusus dalam Perlembagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan pengasingan kuasa penuh membabitkan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya setara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Shamrahayu yang juga pakar Perlembagaan berkata, Perkara 105 yang memperuntukkan Ketua Audit Negara hanya boleh dipecat melalui prosedur sama seperti Hakim Mahkamah Persekutuan, juga boleh dijadikan asas bagi menjamin kebebasan jawatan Pendakwa Raya dalam pindaan Perlembagaan akan datang.

Katanya, pelantikan AG boleh terus dibuat oleh kerajaan kerana individu itu perlu mendapat kepercayaan kerajaan.

“Namun, bagi pelantikan Pen­dakwa Raya lebih sesuai jika melalui satu jawatankuasa atau suruhanjaya khas yang menca­dangkan nama kepada Yang di-Pertuan Agong, selain melibatkan perbincangan dengan Majlis Raja-Raja seperti proses pelantikan hakim tertinggi,” katanya.

Shamrahayu berkata, berdasarkan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, AG kini memegang dua kuasa serentak iaitu sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan serta Yang di-Pertuan Agong, pada masa sama bertindak sebagai Pendakwa Raya.

“Kedudukan ini menimbul­kan dilema kerana ia boleh menjejaskan kewibawaan dan kebebasan AG. Lebih membimbangkan apabila wujud persepsi bahawa pendakwaan dilakukan bagi pihak kerajaan dan tertakluk kepada telunjuk eksekutif,” katanya.

Shamrahayu berkata, AG bo­leh terus kekal sebagai penasihat undang-undang kerajaan sebagaimana diamalkan di beberapa negara lain.

“Namun, timbul persoalan sama ada beliau wajar kekal sebagai penasihat undang-undang Yang di-Pertuan Agong. Ada cadangan supaya Seri Paduka Baginda mempunyai penasihat undang-undang tersendiri yang bebas daripada kerajaan,” kata­nya.

Pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain pula berkata, kedudukan Pendakwa Raya yang dijamin bebas dan dilindungi Perlembagaan, diyakini mampu memperkukuh kebebasan sistem kehakiman negara.

Kata beliau, langkah itu penting bagi mengelak wujud pengaruh tidak wajar seperti sering dipersoalkan masyarakat apabila banyak kes digugurkan atas permintaan AG sehingga mencetuskan bantahan awam.

Katanya, pemisahan itu hanya akan bermakna sekira­nya tiada lagi pihak yang boleh mengekang kebebasan Pendakwa Raya untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×