SABAK BERNAM: Seorang tukang kebun menemui ajal selepas menyangka racun yang diminumnya itu air minuman ketika sedang meracun sawit dekat kawasan kebun di Sungai Air Tawar di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kematian lelaki tempatan berusia 42 tahun itu, kira-kira pukul 6.47 petang semalam.
Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dipercayai terminum racun yang disangka air minuman pada sebelah pagi kelmarin.
“Racun itu berada dalam botol air mineral dan mangsa ketika itu sedang meracun sawit di sekitar kebun jagaannya. Mangsa kemudian mengadu sakit pada hari sama dan mendapatkan rawatan lanjut di hospital berdekatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelas Md. Yusof, proses bedah siasat dijalankan oleh pegawai perubatan Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh.
“Punca sebenar kematian belum dapat disahkan kerana perlu menunggu keputusan laporan makmal. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” ujarnya.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya. – UTUSAN










