SELAMA bertahun-tahun, ruang angkasa lepas hanya diterokai lelaki, namun sejak 1978, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mengambil langkah berani dengan memilih enam wanita sebagai angkasawan.
Ini sekali gus menandakan permulaan baru dalam sejarah penerbangan angkasa lepas.
Walaupun anak patung Barbie angkasawan sudah dijual di kedai AS pada 1965, lengkap sut angkasa berwarna perak, wanita Amerika terpaksa menunggu lebih lama untuk merealisasikan pengalaman sebenar.
Pada 18 Jun 1983, Space Shuttle Challenger bersiap sedia untuk dilancarkan.
STS-7 merupakan misi ulang-alik NASA yang ketujuh untuk kapal angkasa boleh guna semula pertama di dunia, dengan enam wanita dipilih menyertai pasukan angkasawan, namun hanya dua yang ketika itu berada di angkasa lepas.
Nama ahli fizik dari California, Sally Ride, tercatat dalam sejarah apabila beliau menjadi wanita Amerika pertama ke angkasa lepas.

KIT KOSMETIK
Walaupun alat solek bukan sebahagian daripada aksesori misi, NASA tetap menyediakannya termasuk maskara, pembayang mata dan gincu.
Semua itu dimasukkan ke dalam Kit Keutamaan Peribadi (PPK) untuk enam angkasawan wanita baharu, Ride, Judy Resnik, Anna Fisher, Kathryn Sullivan, Shannon Lucid dan Rhea Seddon.
Bagaimanapun, Ride tidak menggunakan alat solek tersebut.
Bahkan, rakan sepasukannya dalam latihan angkasawan, Sullivan, turut berpendirian sama, ketika beliau menjadi wanita Amerika pertama melakukan aktiviti berjalan di angkasa setahun kemudian.
“Kebanyakan kami berasa lucu dan jengkel terhadap kit kosmetik itu yang seolah-olah menggambarkan kami kurang fokus terhadap misi berbanding rakan lelaki atau menuruti sterotaip tertentu,” kata Sullivan.
Tidak semua angkasawan wanita menolak kit kosmetik tersebut apabila Seddon sendiri mengakui beliau meminta beberapa item asas kerana tidak mahu wajahnya pucat dalam gambar diambil dari angkasa.
“Menarik bukan bila saya seorang sahaja yang gambarnya di angkasa menunjukkan sedikit gincu dan pemerah pipi,” katanya.

KEPERLUAN WANITA DI ANGKASA
Namun, isu kosmetik hanyalah sebahagian kecil daripada cabaran sebenar. NASA sendiri berdepan kesukaran menyesuaikan peralatan untuk angkasawan wanita.
Dari deodoran, tonik rambut hingga krim pencukur, banyak item dalam PPK asal ditetapkan untuk lelaki, manakala angkasawan wanita terpaksa melobi agar diganti dengan produk lebih mesra wanita.
Isu paling ketara ialah berkaitan biologi asas, dengan NASA ketika itu masih cuba memahami keperluan wanita di angkasa, termasuk kitaran haid.
Bagi misi pelancaran, pendaratan dan aktiviti berjalan di angkasa, semua kru diwajibkan memakai Pakaian Penyerapan Maksimum (MAG), lampin dewasa versi angkasawan.
Tetapi, kerana sebelum ini angkasawan semua lelaki, NASA terpaksa mereka pakaian serapan pakai buang khas untuk wanita.
Menurut Fisher, meskipun pada awalnya berdepan salah faham dan kekok, penyertaan enam wanita itu menandakan perubahan besar dalam NASA.
“NASA sudah komited menerima penyertaan angkasawan wanita. Malah, di pusat kawalan misi sudah ada jurutera wanita, walaupun ketika itu belum ada pengarah penerbangan wanita.
“Pengarah penerbangan wanita pertama hanya muncul pada 1984,” katanya dalam dokumentari radio, The Equal Rights Stuff.
Langkah berani itu bukan sahaja membuka peluang kepada lebih ramai wanita menceburi bidang sains dan kejuruteraan, tetapi juga berjaya menepis tanggapan hanya lelaki memiliki keupayaan atau kelayakan istimewa untuk menjadi angkasawan.









