AOSPAG perkukuh kerjasama global tangani isu kesihatan wanita

AOSPAG perkukuh kerjasama global tangani isu kesihatan wanita

DR. ANI Amelia Zainuddin (kanan) mengiringi Timbalan Ketua Setiusaha (Strategik) KPWKM, Mohd. Daud Mohd. Arif melawat reruai selepas perasmian Kongres Kedua Asia Oceania Society of Pediatric and Adolescent Gynecology (AOSPAG) di Holiday Inn Kuala Lumpur, di sini hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Asia Oceania Society of Pediatric and Adolescent Gynecology (AOSPAG) terus memperkukuh kerjasama global dalam menangani isu kesihatan wanita, khususnya membabitkan kanak-kanak dan golongan remaja.

Presidennya, Prof. Dr. Ani Amelia Zainuddin berkata, gabungan pakar daripada 11 negara itu meletakkan fokus kepada bidang ginekologi merangkumi masalah haid, tumbesaran, akil baligh dan kehamilan remaja.

Katanya, kerjasama itu dijalin menerusi pelbagai platform termasuk webinar bulanan dan persidangan dwitahunan yang memberi ruang untuk membincangkan kes-kes rumit berkaitan.

“Semua ini terdiri daripada pakar-pakar dan pelatih yang bidang kepakarannya adalah ginekologi kanak-kanak dan remaja, serta golongan muda yang menghadapi masalah.

“Kali ini, Malaysia buat kali pertama menjadi tuan rumah. Ini juga membawa pakar-pakar luar negara untuk berkongsi hasil kajian serta pengetahuan mengenai topik dan insyaAllah membuka ruang kerjasama antara negara-negara,” katanya ditemui pemberita selepas perasmian Kongres Kedua AOSPAG di Hotel Holiday Inn, di sini hari ini.

Mengikut statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kes kehamilan remaja bawah umur meningkat kepada 2,752 pada 2024 berbanding 2,737 pada 2023, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini kes direkodkan adalah sebanyak 655 kes.

Dalam pada itu, Dr. Ani Amelia yang juga Ketua Unit Pediatrik dan Ginekologi Remaja Hospital Canselor Tuanku Muhriz berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) juga bakal ditandatangani antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Kanak-Kanak, Sekolah Perubatan Universiti Zhejiang (ZUCH) pada November depan.

“Itu berkaitan dengan kes-kes ginekologi kanak-kanak dan remaja. Alhamdulillah, UKM adalah unit yang pertama dan yang utama di Malaysia. Banyak pakar-pakar dah ada di universiti lain juga.

“Jadi kita lihat pada kes-kes melibatkan kanak-kanak dan remaja yang orang lain tidak tengok. Dan disebabkan kita adalah unit rujukan utama, jadi kita dapat tengok kes-kes setiap minggu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×