PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membatal atau menggantung lesen import 26 syarikat rokok, tembakau dan minuman keras dalam tempoh 2024 sehingga Julai lalu kerana ketidakpatuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, jumlah itu meningkat berbanding sembilan lesen import RMK digantung dan dibatalkan sepanjang 2024.
Katanya, tindakan penggantungan dan pembatalan yang dikenakan termaktub di bawah sembilan akta tadbiran JKDM selain 67 akta di bawah tadbiran agensi lain dan 102 peraturan di bawah agensi-agensi kerajaan lain.
“Kita (JKDM) sememangnya secara aktif memantau dan mengambil tindakan terhadap syarikat yang didapati menyalahgunakan lesen import mereka.
“Antara langkah yang diambil adalah pembatalan, penggantungan dan tidak membaharui lesen serta tindakan pengauditan menyeluruh dilakukan terhadap akaun syarikat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Pada 1 September lalu, Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap 14 syarikat miliki lesen import sah dalam Op Sikaro mendapati menyalahguna dengan membuat pengisytiharan palsu bagi mengelak cukai dan membawa masuk barangan haram.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, modus operandi yang dikenal pasti termasuk menukar kod kastam dan butiran barangan untuk mengurangkan pembayaran cukai sebenar.
Anis Rizana berkata, selaras dengan peruntukan Akta Kastam 1967, JKDM mempunyai kuasa untuk membuat pemeriksaan ke atas barang dagangan yang telah dilepaskan masuk ke dalam negara.
Ujarnya, bagi syarikat yang diberikan lesen import RMK, JKDM turut melaksanakan mekanisme kawalan kedua yang merangkumi aspek kewangan, pelaporan serta pengauditan.
“Langkah ini bertujuan memastikan tahap pematuhan yang tinggi, menyeluruh dan tanpa sebarang kompromi,” jelasnya.
Tambah Anis Rizana, antara langkah utama iaitu pengawalan transaksi kewangan yang mana semua urusan import, termasuk aktiviti in-transit dan transshipment adalah wajib dilaksanakan melalui saluran transaksi perbankan.
Sebagai contoh iaitu ‘telegraphic transfer’ dan transaksi tunai tidak dibenarkan selain rekod kewangan hendaklah disimpan dengan lengkap dan sedia untuk diperiksa oleh pegawai kastam pada bila-bila masa.
“Kita juga membuat pemantauan penyata bulanan iaitu setiap syarikat pemegang lesen import diwajibkan mengemukakan penyata bulanan kepada JKDM tidak lewat daripada 10 hari bulan berikutnya.
“Penyata ini menjadi asas pemantauan berterusan dan pengesanan awal sebarang ketidakpatuhan,” ujarnya.
Dalam pada itu, JKDM turut melakukan pengauditan pasca import yang mana syarikat pemegang lesen import diwajibkan menyelenggara rekod yang lengkap, tepat dan teratur berkaitan transaksi import dan jualan.
Anis Rizana berkata, rekod ini akan digunakan bagi tujuan pengauditan pasca import oleh JKDM untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang kastam, cukai dan syarat lesen.
“Tindakan penguatkuasaan turut diambil terhadap sebarang pelanggaran terhadap Akta Kastam 1967 atau perundangan subsidiarinya atau syarat lesen yang telah ditetapkan.
“Ini boleh menjadi asas untuk lesen ini digantung, dibatalkan atau tidak diperbaharui. Kelulusan lesen boleh digantung atau dibatalkan pada bila-bila masa oleh atau di bawah arahan Ketua Pengarah Kastam,” tegasnya
Anis Rizana menegaskan melalui pendekatan ini, JKDM akan memastikan syarikat sentiasa dipantau secara berterusan bukan sahaja dari aspek kemasukan barang ke dalam negara tetapi juga dari sudut kewangan, pelaporan dan rekod perakaunan.
“Ini bagi melindungi hasil negara, mencegah ketirisan serta mengekalkan integriti sistem perdagangan Malaysia,” katanya. – UTUSAN









