Pinggan mangkuk seramik buatan Kuala Langat tembusi 10 hotel mewah - Utusan Malaysia

Pinggan mangkuk seramik buatan Kuala Langat tembusi 10 hotel mewah

muhammad Iqbal Awang Damit menunjukkan kolekis yang dihasilkan Bangkita.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA berkunjung ke hotel dan kafe, bukan hanya makanannya yang memikat selera, malah pinggan mangkuk seramik di atas meja turut mencuri perhatian.

Dengan rekaan yang eksklusif dan cantik, pasti ramai menyangka ia diimport dari Jepun, China atau Eropah.

Namun, sebahagian daripadanya sebenarnya dihasilkan oleh anak tempatan melalui Bangkita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehingga kini, jenama yang beroperasi di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Kuala Langat itu sudah menembusi ke 10 hotel mewah di dalam dan luar negara.

Antaranya ialah The Ruma, Kloe, Luma, Ritz Carlton Langkawi, W, Intercontinental, Alila dan Four Seasons Maldives serta Beijing.

Bahkan, peralatan tersebut turut menghiasi hampir 50 restoran dan kafe popular di Malaysia termasuk Kays Steak & Lobster, Cake Jalan Tiung, Bijan KL, Brew & Bread dan Huckleberry.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Iqbal Awang Damit berkata, pencapaian itu sekali gus membuktikan yang seramik tempatan kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Katanya, keunikan produk tersebut terletak pada teknik sapuan berus yang menjadi identiti Bangkita sejak ditubuhkan pada 2013.

“Sentuhan kami berbeza berbanding jenama lain kerana setiap lukisan dilakukan terus pada badan seramik.

“Selain itu, pinggan mangkuk juga dilengkapi dua lapisan bagi memastikannya lebih tebal, kukuh dan tahan, sekali gus mengurangkan risiko retak atau pecah semasa digunakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menceritakan penglibatan awalnya, kata Muhammad Iqbal, minat terhadap seramik disemai selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ia adalah hasil galakan dan sokongan padu bapanya yang juga pelukis abstrak terkenal, Prof. Awang Damit Ahmad.

Lantas, dia mula menekuni ilmu seramik di bawah bimbingan pakar seramik, Prof. Madya Ham Rabeah Kamarun selama dua bulan.

“Saya tiada sebarang asas dalam seramik tetapi sepanjang tempoh berguru itu saya dapat belajar banyak perkara daripada melukis, membentuk tanah liat menggunakan mesin lempar alin, membakar dan mewarna.

“Lama-kelamaan timbul minat untuk mendalaminya hingga saya nekad menyambung pengajian dalam bidang Diploma Seni Reka (Seramik) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar,” katanya.

Dalam masa sama, pemuda berusia 34 tahun ini turut mengikuti kursus pendek dengan artis seramik Korea, Kim Sang Gi di negara berkenaan.

Bagaimanapun, niatnya untuk ke Jepun bagi melanjutkan ijazah sarjana muda tidak kesampaian.

“Sejak itu, saya fokus untuk membangunkan Bangkita hingga sampai ke tahap sekarang.

“Saya juga bersyukur kerana kerap dapat dijemput pihak Kraftangan Malaysia untuk memperkenalkan jenama ini hingga ke luar negara termasuk di Itali, Paris, Jerman, Amerika Syarikat, Bangladesh dan Uzbekistan,” katanya.

keunikan pinggan mangkuk seramik yang dihasilkan oleh Bangkita terletak pada sapuan berus yang teliti serta ketebalan yang kukuh.

Enam bulan tidur depan mesin pembakar

Pembuatan seramik menuntut kesabaran, disiplin dan daya fokus kerana prosesnya yang rumit serta mencabar.

Semasa enam bulan pertama mengendalikan perniagaan itu, Muhammad Iqbal terpaksa tidur di depan mesin pembakar setiap hari.

Manakan tidak, proses membakar lazimnya mengambil masa selama 12 jam untuk diselesaikan.

“Kalau mesin masih beroperasi hingga ke tengah malam, sayalah yang perlu tunggu sampaikan tertidur di depannya.

“Kalau nasib kurang baik, warna pada seramik tidak menjadi dan saya perlu letak ratusan pinggan mangkuk baharu untuk dibakar semula.

“Item yang dianggap ‘rosak’ sudah tidak boleh dibaiki lagi atau diguna semula di peringkat pengeluaran,” katanya.

Selain itu, katanya, penggunaan mesin lempar juga memerlukan kemahiran tinggi pembuatnya.

Ujarnya, tidak semua individu mampu menguasai ilmu itu dalam masa singkat.

“Seseorang perlu tenang dan kekal fokus bagi memastikan tangan tidak tersasar dari kedudukan asal,” katanya.

Tambahnya, proses menyiapkan antara 200 hingga 300 biji pinggan mangkuk seramik lazimnya mengambil masa kira-kira tiga minggu.

Antara bahan yang diperlukan dalam pembuatan seni itu ialah tanah liat dan bahan kimia (pewarna).

Pesona Selangor

Terbaharu, jenama Bangkita turut bekerjasama dengan Tourism Selangor menerusi siri bertajuk Pesona Selangor.

Muhammad Iqbal berkata, produk edisi terhad itu diinspirasikan daripada rona merah dan kuning yang merupakan warna bendera negeri.

Sebanyak 50 unit dikeluarkan bagi setiap tiga rekaan dalam siri tersebut.

“Siri ini merangkumi piring kecil serta cawan, selepas ini mungkin lebih banyak lagi kerjasama yang akan dijayakan dengan pihak Tourism Selangor,” katanya.

Antara siri lain yang pernah dihasilkannya ialah Ombak Biru, Ombak Putih, Bait-bait Warna, Fajar ke Maghrib, A New Beginning, Monochrome Black, Syawal, Nostalgia, Karamel, Kopi & Teh, Terracotta, Wish dan Gula Kapas.

Lebih menarik, dia turut membuka restoran yang menggunakan 100 peratus pinggan mangkuk keluarannya iaitu Sepinggan Semangkuk.

Malah, peralatan itu turut dijadikan hiasan di dinding premis berkenaan sebagai tarikan orang ramai.

“Setakat ini tiada mana-mana restoran yang menampilkan konsep seramik di Malaysia dan Sepinggan Semangkuk merupakan yang pertama,” katanya.

Seramik di Malaysia bakal pupus?

Muhammad Iqbal tidak menafikan yang industri seramik di Malaysia agak ketinggalan berbanding di negara luar.

Di Korea misalnya, terdapat sekolah dan muzium seramik khas yang diwujudkan bagi mendidik masyarakat mengenai seni warisan tersebut.

Bukan itu sahaja, lepasan universiti di bidang tersebut turut diberikan geran untuk memulakan perjalanan kerjaya sebagai artis.

“Mungkin sebab kita bukan pemain utama seperti Jepun, China dan Eropah yang sangat menghargai seni seramik sebagai identiti bangsa.

“Bahkan, di kebanyakan rumah mereka pun turut menggunakan set pinggan mangkuk tersebut,” katanya.

Selain itu, katanya, ketiadaan organisasi khusus yang menyokong seni itu di Malaysia turut membuatkan seramik terpinggir.

“Tidak mustahil satu hari nanti ia boleh pupus kerana sekarang pun sudah tidak ramai penggiatnya dalam kalangan generasi bawah daripada saya.

“Bukan sebab belia kurang minat tetapi faktor kos operasi yang mahal termasuk tanah liat, sewaan ruang studio dan mesin pembakar yang mencecah RM60,000 untuk saiz 5X5,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini