38.3 peratus ahli KWSP capai tahap simpanan asas

38.3 peratus ahli KWSP capai tahap simpanan asas

AMIR HAMZAH AZIZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 2.85 juta atau 38.3 peratus daripada 7.44 juta ahli aktif formal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 18 hingga 55 tahun telah mencapai tahap Simpanan Asas setakat 31 Julai lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, angka itu menunjukkan peningkatan berbanding 30.4 peratus pada Disember 2022 susulan kesan pengeluaran khas ketika pandemik Covid-19 yang kini mula dipulihkan.

Katanya, pecahan mengikut kaum menunjukkan seramai 1.38 juta pencarum terdiri daripada bumiputera, 1.22 juta kaum Cina, 214,000 kaum India dan 38,000 daripada kaum lain.

“Pertambahan ini lebih mencerminkan situasi sebenar kerana ia melibatkan ahli aktif formal yang sedang bekerja dan terus mencarum,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Mohd. Hasbie Muda tentang jumlah pencarum skim KWSP berdasarkan kaum yang berusia melebihi 55 tahun dan mempunyai simpanan mencukupi bagi menghadapi usia bersara.

Amir Hamzah berkata, tahap simpanan yang rendah dalam kalangan ahli KWSP berpunca daripada beberapa siri pengeluaran khas semasa pandemik. 

Katanya, langkah itu berjaya meringankan beban kewangan pencarum, namun menjejaskan kedudukan simpanan persaraan mereka yang kini dalam proses dipulihkan.

“KWSP memberi tumpuan untuk membina semula simpanan pencarum bagi memastikan mereka menikmati pendapatan persaraan yang mampan.

“Ahli yang mencapai umur 55 tahun mempunyai pilihan untuk membuat pengeluaran secara sebahagian, berkala atau penuh,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, baki simpanan selepas umur 55 tahun tidak boleh dijadikan ukuran tunggal kecukupan persaraan.

“Pengukuran yang lebih sesuai adalah pencapaian tahap Simpanan Asas mengikut umur pada fasa pengumpulan, iaitu sebelum ahli mencapai umur 55 tahun dan layak membuat pengeluaran,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×