Sistem tol tanpa palang dipastikan mesra rakyat

Sistem tol tanpa palang dipastikan mesra rakyat

Alexander Nanta Linggi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa palang atau sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) akan dilakukan secara teliti dengan mengambil kira pelbagai pandangan, cadangan dan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sesi libat urus yang dijalankan bersama syarikat konsesi lebuh raya hari ini membincangkan cabaran teknikal, operasi serta aspek penguatkuasaan bagi memastikan sistem itu benar-benar praktikal dan mesra pengguna.

“Transformasi ini merupakan anjakan besar dalam sistem lebuh raya negara kerana ia bukan sahaja mengurangkan kesesakan, malah menjimatkan masa dan kos pengguna. Namun, pelaksanaan MLFF mesti teliti, adil dan tidak membebankan rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Segala cadangan dan pandangan yang dikemukakan akan diteliti dan diambil kira sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad,” katanya selepas mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil syarikat konsesi lebuh raya hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Julai lalu menetapkan pelaksanaan MLFF akan dijalankan secara Business to Business (B2B) oleh syarikat konsesi dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai badan kawal selia utama.

Katanya, sistem berkenaan akan diintegrasikan dengan kaedah pembayaran terbuka dan tertutup bagi mengelakkan kekeliruan pengguna selaras dengan penekanan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sepanjang tempoh dua tahun (2025 hingga 2027), Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama agensi berkaitan akan meneliti aspek teknikal, perundangan, penguatkuasaan serta komunikasi pengguna sebelum dibawa kepada kerajaan untuk kelulusan akhir.

“MLFF bukan sekadar sistem baharu, tetapi satu anjakan paradigma yang lebih berkesan berbanding sekadar menambah lorong tol sedia ada. 

“Saya optimis dengan kerjasama kerajaan, agensi penguatkuasaan dan syarikat konsesi, lebuh raya Malaysia boleh mencapai tahap bertaraf dunia yang efisien, selamat dan lestari,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, sistem pembayaran terbuka tol menggunakan teknologi pengecaman nombor plat automatik (ANPR) dijangka mula dilaksanakan secara rintis bermula Oktober ini khususnya di laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua di Lebuh Raya PLUS.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sistem ANPR merupakan satu langkah strategik ke arah pelaksanaan sistem MLFF yang lebih cekap dan efisien bagi mengelakkan kesesakan di semua jajaran Lebuh Raya PLUS.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini