PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) meletakkan sasaran membentuk sebuah pakatan politik membabitkan gabungan longgar parti-parti blok pembangkang sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha penyatuan itu kini menunjukkan perkembangan positif terutama ke arah memperkukuh kerjasama sesama parti pembangkang.
Katanya, pembentukan pakatan berkenaan diyakini mampu mencetuskan ‘swing’ undi yang memberi kelebihan kepada PN untuk menambah kemenangan khususnya di peringkat Parlimen.
“Jika parti politik yang kini bersaing dapat mencapai persefahaman menjelang PRU16, pakatan ini mampu membuka ruang baharu bagi kita menangi lebih banyak kerusi.
“Kajian simulasi menunjukkan, sekiranya berlaku peningkatan tiga peratus undi kepada PN, ia boleh diterjemahkan kepada tambahan antara 11 hingga 22 kerusi Parlimen,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) BERSATU 2025 hari ini.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, cadangan membentuk pakatan longgar itu sudah dibentangkan kepada mesyuarat pimpinan tertinggi PN dan mendapat persetujuan semua komponen.
Katanya, walaupun tidak didaftarkan secara rasmi, gabungan longgar itu berpotensi memberi kesan besar terhadap landskap politik negara.
Media sebelum ini melaporkan, sebanyak 12 parti menyatakan persetujuan membentuk pakatan longgar bagi memperjuangkan isu-isu yang didakwa gagal ditangani kerajaan Madani termasuk janji reformasi.
Selain BERSATU, gabungan itu turut disertai Pas, GERAKAN, PEJUANG, MUDA, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), PUTRA, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan sebuah parti baharu yang belum didaftarkan, Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin mengakui berasa kecewa dengan kekecohan yang berlaku semasa beliau berucap di pentas PAT BERSATU, namun menegaskan isu itu sudah diselesaikan secara baik bersama barisan kepimpinan.
“Saya akui agak tersentuh kerana perkara ini melibatkan imej parti, tetapi saya sudah berbincang dengan pimpinan tertinggi dan mereka memberi jaminan ia tidak akan berulang.
“Kita perlu melihat ke hadapan untuk terus memperkukuh parti kerana PN adalah kerajaan menunggu,” katanya.
Sementara itu, PAT BERSATU kali ini turut meluluskan usul menamakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 daripada BERSATU.
Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, usul itu mendapat sokongan penuh perwakilan selain menegaskan komitmen untuk memperkasa jentera pilihan raya. – UTUSAN










