PETALING JAYA: Sebuah syarikat kecantikan telah menghantar Notis Tuntutan (LOD) kepada seorang pemilik akaun TikTok kerana membuat hantaran dan komen berunsur fitnah terhadap produk keluarannya
Pengarah syarikat Vdare Healthy & Beauty, Noor Addina Yusof berkata, langkah itu diambil bagi melindungi reputasi syarikat serta menjaga keyakinan para pengguna.
Kata beliau, pihaknya ingin menegaskan segala tuduhan yang dilemparkan adalah tidak benar, mengelirukan serta berunsur fitnah dan tindakan undang-undang akan diambil.
“Sebagai sebuah syarikat yang mengutamakan keselamatan pengguna, produk telah melalui proses penilaian yang ketat.
“Kami bukan sahaja berdepan dengan komen-komen fitnah di hantaran pemilik akaun tiktok tersebut, terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan dan mengakibatkan pihak KKM pada 24 Jun lalu datang ke kilang kami dan merampas produk kami
“Namun pada 13 Ogos 2025, KKM telah mengesahkan VS’lim bebas daripada sebarang bahan terlarang seperti Sibutramine dan selamat digunakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kes LOD itu dikendalikan bersama Tetuan Adnan Sharida & Associates yang mewakili pihaknya.
Mengulas lanjut, Noor Addina bagaimanapun menjelaskan, pihaknya ingin menekankan setiap individu mempunyai kondisi kesihatan yang berbeza dan tidak semua pengguna sesuai untuk mengambil VS’lim.
Jelas beliau, pengguna yang mempunyai masalah kesihatan tertentu, wanita hamil atau menyusu adalah dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor atau pegawai farmasi terlebih dahulu sebelum mengambil produk ini.
“Penegasan ini selaras dengan komitmen kami untuk memastikan semua produk digunakan secara bertanggungjawab, selamat dan mengikut kesesuaian individu,” katanya – UTUSAN











