SPRM kongsi perkembangan kes berprofil tinggi Selasa ini

SPRM kongsi perkembangan kes berprofil tinggi Selasa ini

AZAM Baki (tengah) menyaksikan penyerahan replika kunci Balai Raya Kampung Terentang, Kuala Pilah pada Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani) di Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Perkembangan terkini siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beberapa kes berprofil tinggi akan dikongsi serta diperincikan Selasa ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes berkenaan termasuklah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kata beliau, perincian lanjut berkenaan adalah bagi memastikan orang ramai tidak tertanya-tanya mengenai perkembangan terkini kes-kes besar yang kini dalam siasatan pihaknya.

“Saya telah janjikan sidang media pada 9 September ini membabitkan rangkuman banyak kes-kes yang berprofil tinggi termasuk Op Sikaro, Projek Lebuhraya MEX II, kes melibatkan Sapura Energy, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan lain-lain lagi.

“Semua kes-kes ini akan saya kongsikan perkembangan terkini siasatan. Saya tidak mahu masyarakat melihat seolah-olah SPRM melengahkan siasatan. Saya ingin tekankan, banyak kes (siasatan) kami pergiatkan dan percepatkan, kebanyakkan telah diambil tindakan punitif.

“Bukan sahaja dituduh di mahkamah termasuk didenda, dimuktamadkan dan diambil tindakan dalaman jabatan dan sebagainya. Macam Op Sikaro, kita lihat banyak wang yang diperoleh hasil daripada aktiviti-aktiviti haram melibatkan beratus-ratus akaun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Balai Raya Kampung Terentang sempena Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni Madani), di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai perkembangan kes membabitkan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau menyatakan siasatan kes berkenaan telah selesai.

Menurutnya, kes tersebut telah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk kajian dan cadangan untuk dituduh di mahkamah dalam masa terdekat.

“Saya berharap kalau boleh dituduh (kes DBKL membabitkan urusan pembelian hartanah) selewat-lewatnya selepas sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM telah menahan tiga individu melibatkan seorang pegawai kanan gred Jusa B, seorang pemilik syarikat dan seorang orang awam, bulan lalu kerana disyaki terlibat dalam rasuah sejak 2014.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×