Penulis, Mohd. Fudzail Mohd. Nor menerusi kumpulan cerpen Di Atas Bumbung Harapan ini menghidangkan 15 buah cerpen tentang gaya hidup zaman siber.
Beliau memilih salah satu daripada judul cerpennya untuk memberi gambaran kepada salah satu kemudahan hidup yang banyak digunakan secara langsung pada penggunaan komputer dan internet.
Cara berfikir pengarang banyak menjentik hati orang awam dengan menyingkap pelbagai tema cerita yang dikaitkan dengan Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram. Pokoknya, media sosial dan netizen amat berpengaruh besar dalam segala isu.
Oleh itu, kebanyakan jalan cerita yang dibina oleh Fudzail kelihatan segar dan terkini serta boleh menjadikan lapangan ilham untuk pembaca belajar tentang kehidupan seseorang khususnya kepada warga emas agar sentiasa beringat ketika berada “Di Atas Bumbung Harapan,” supaya cekap berkomunikasi dengan dunia “Buli Siber” dan pantas menggerakkan peranan otak agar bekerja keras bagi mengelak “Dimensia Digital.”
Selain itu, secara terbukanya penulisan cerpen Fudzail lebih banyak tertumpu kepada perkongsian pengalamannya selama 18 tahun berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kepada empat buah syarikat besar sewaktu di Riyadh, Arab Saudi dan Dubai.
Contohnya, cerpen Me Time dan We Time cuba merungkai betapa sibuknya tugasan suami isteri masa kini yang bergitu banyak terdedah dengan alam pekerjaan sehinggakan tiada masa langsung untuk berkongsi fikiran dengan insan terdekat.
Fenomena bauran mod bekerja selama 24 jam yang dilalui oleh pasangan muda pada zaman siber ini boleh mengakibatkan isteri berasa tertekan dan stres disebabkan gandaan menguruskan pekerjaan di pejabat yang terbawa-bawa kembali ke rumah sehinggakan kesibukan itu mengakibatkan tiada masa langsung untuk mengurus diri sendiri.
Kepadatan rutin harian kebanyakannya tidak pernah habis-habis itu banyak diluahkan melalui aplikasi WhatsApp. Inilah yang turut dirungkai oleh Fudzail lewat cerpen ini. Sebenarnya, pengarang cuba mewujudkan ‘masa emas’ kepada pasangan Yusuf-Zulaikha bagi menjaga keharmonian keluarga dan kesihatan minda agar kehidupan harian tidak lagi hanya berdasarkan mesej ringkas yang sering dihantar melalui WhatsApp.
Barangkali, platform pentas siber turut sama dicuit lewat cerpen Ping. Pemandu teksi digerakkan dalam fasa mengambil alih mengejar penumpang dengan berapa banyak dentingan tempahan “ping” yang bersarang di aplikasi teksinya. Sebenarnya, kepandaian pemandu e-panggilan menggunakan internet banyak memudahkan komunikasi jarak jauh melalui pesanan dan sumber informasi yang diterima.
Pelanggan yang diterima terus dihantar ke destinasi yang dituju di samping sempat pula berkongsi rencam cerita bagi menghilangkan kelat mata pemandu. Jadi, cabaran moral dan intelektualnya, pemandu e-panggilan perlu menguasai banyak bahasa pertuturan agar mudah berkongsi rasa hati dengan penampilan kelibat manusia yang sudah mendunia ke peringkat antarabangsa kerana dasar pekerjaan itu sendiri tidak pernah putus-putus mengambil penumpang dengan pelbagai karakter, tabiat dan ragam.
Namun begitu, pelbagai persoalan dan isu semasa khususnya mengenai dunia siber diberi pendekatan yang mudah untuk difahami pembaca oleh Fudzail iaitu seorang pengarang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang sudah matang.
Sekurang-kurangnya cerpen Langit Beransur Menjadi Terang, Di Atas Bumbung Harapan, Nasi Sudah Menjadi Bubur, Projek Tunggang Agama, OKU dan TikTok ada menyentuh dunia pengarang sebagai suara hati Orang Kelainan Upaya (OKU). Serasa seperti terluah dalam kata-kata ini, “…Siapalah yang mahu mendengar kata-kata daripada seorang OKU, orang kelainan upaya sepertiku, yang tidak berdaya bangun dan lemah pergerakannya ini?”
Sebenarnya, pemerhatian pengarang menerusi tulisannya kelihatan begitu positif membicarakan isu kepentingan internet dan komputer berdasarkan pengalaman luas yang digaulinya. Tulisan beliau dapat diikuti menerusi e-buku dan laman portal buku. Pembaca seolah-olah dibawa arus kehidupan bagi menjalani misteri dan keajaiban hidup lewat “Langit Beransur Menjadi Terang.”
Tekanan dan ujian hidup melalui strok ringan yang dihadapi pengarang terus menguji minda pembaca untuk mendapatkan jalan keluar untuk terus menyemarakkan lagi hidup ini.
Sememangnya satu pengalaman luar biasa membaca kumpulan cerpen ini. Buku setebal 188 halaman ini menawarkan perspektif segar tentang kehidupan moden dan memberikan gambaran tentang bagaimana teknologi mempengaruhi hubungan interpersonal. Apa lagi rempah rasa kumpulan cerpen Di Atas Bumbung Harapan ini terlalu banyak ditambah dengan bumbu-bumbu berpengalaman Fudzail yang menyentuh hati.
Contohnya, gambaran tentang sikap NGO dapat dilihat dalam Sampah iaitu bagaimana cara mereka membantu individu lain yang sedang berada dalam fasa kesusahan berhadapan situasi semasa. Sukarelawan yang menghulurkan bantuan didapati membuang barang milik mangsa bencana banjir dalam operasi pascabanjir. Semuanya dianggap sebagai ‘sampah’ dan dibuang begitu sahaja barang-barang yang sudah terkena lumpur.
Adakah mereka yakin, barang-barang itu perlu dibuang sesuka hati tanpa mengambil kira kesusahan mengembalikan emosi dan harta benda yang dialami oleh mangsa yang terkena musibah banjir. Kemudiannya, dengan gembira pula aktiviti itu dimuatnaik ke Facebook masing-masing tanpa mengambil kira hati nurani mangsa.
Sememangnya satu pengalaman luar biasa, tatkala membaca kumpulan cerpen ini kerana dijangka pembaca akan terbuka minda tentang pahit getir kehidupan yang menjadi refleksi daripada cebisan pengalaman hidup. – UTUSAN










