RUU PSB: Pastikan pemaju tidak cuci tangan - Johari

RUU PSB: Pastikan pemaju tidak cuci tangan – Johari

PSB pemaju
JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) perlu dipastikan dapat memantau dan menyelia syarikat pemaju yang terlibat dengan pembangunan semula sesuatu kawasan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan penduduk terkesan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johar Abdul Ghani berkata, undang-undang baharu itu perlu memastikan syarikat tidak sewenang-wenangnya cuci tangan sekiranya projek mereka bermasalah yang akhirnya menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung akibat daripada kesan tersebut.

Menurutnya, justeru, RUU PSB akan dilihat dengan teliti dan penyampaian perlu dilakukan terhadap semua pihak termasuk terutama pemegang-pemegang taruh yang tidak berpuas hati dengan usul berkenaan.

“Persoalannya, bila hendak buat pembangunan semula, cakap memang sedap. Tetapi, kita hendak (perlu) tengok (teliti) apa syarat-syaratnya. Itu yang kita terpaksa susun dan maklumkan kepada rakyat.

“Mereka tidak mahu berdepan dengan nasib sama seperti penduduk di Flat Tun Razak yang sudah 15, 16 tahun roboh tetapi tak dibuat (dibangunkan) lagi, Kampung Sungai Baharu pun sama.

“Sebab tiada orang (akta khusus) menyelia, bila tiada mereka (pemaju) boleh datang dan pergi. Bila ada masalah, mereka cuci tangan dan akhirnya kerajaan juga perlu bertanggungjawab, jadi itu yang kena tengok dalam RUU PSB,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, UMNO tidak menentang RUU PSB, sebaliknya mahu ia dilaksanakan dengan teratur, terancang dan mengutamakan kebajikan rakyat melalui penelitian semula.

Johari memaklumkan, RUU itu mungkin tidak menimbulkan masalah di negeri-negeri lain yang masih memiliki banyak tanah untuk pembangunan namun dalam konteks Kuala Lumpur ia amat terhad dan juga menimbulkan kebimbangan terutama terhadap orang Melayu di ibu kota yang terlibat di 139 kawasan dikenalpasti berpotensi untuk pembangunan semula.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa menjelaskan, sekiranya perkara-perkara sedemikian tidak diselia melalui RUU berkenaan secara jelas, ia menyebabkan orang ramai khususnya penduduk dalam kawasan tersebut tidak yakin dengannya.

“Sebenarnya, kita tidak mahu peristiwa seperti di Flat Tun Razak dan Kampung Sungai Baru berulang. Ada juga yang berjaya macam Razak Mansion, tetapi itu pemaju bina dahulu rumah di atas tanah kosong, jadi bila siap mereka cuma pindahkan sahaja penduduk.

“Di Lembah Pantai, kawasan lama dibangun balik , tetapi yang dapat balik cuma pemilik asal, lepas itu semua rumah dikomersialkan dan harganya terlalu mahal. Jadi, generasi kedua atau ketiga tidak menikmati faedahnya. Itu antara maklum balas yang sudah diterima,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×