Kes dua beradik lemas kereta masuk sungai disiasat kes bunuh

Kes dua beradik lemas kereta masuk sungai disiasat sebagai kes bunuh

KENDERAAN dinaiki mangsa dinaikkan di lokasi kejadian di jambatan Tanjung Agas, Linggi, Port Dickson semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kes membabitkan dua beradik yang meninggal dunia selepas lemas dalam kejadian kereta menggelongsor ke dalam sungai di Port Dickson pagi semalam disiasat sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, sehubungan itu seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun disyaki bapa kepada mangsa dan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun ditahan selepas memberikan keterangan meragukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

“Semakan rekod lampau terhadap suspek lelaki didapati terdapat sebanyak 16 kes di mana empat kes masih dikehendaki (wanted) manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. 

“Hasil saringan ujian air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun adalah negatif. Dalam pada itu, semakan ke atas kereta terbabit didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang bersabit Nusa Bestari repot 359/22.

“Kedua-dua suspek akan di bawa ke Mahkamah Seremban pagi ini bagi permohonan reman. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sehubungan itu, Alzafny meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Port Dickson di talian 06-6472222 atau Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Husairin Che Hussin di nombor 012-965 4927 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Ujar Alzafny lagi, kedua-dua mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian. 

Sementara itu, katanya, pihaknya telah menerima maklumat dari orang awam berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 11.45 pagi serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah dihubungi untuk membantu membawa keluar mangsa dan kenderaan terbabit.

“Siasatan mendapati mangsa merupakan kanak-kanak lelaki dan perempuan, masing-masing berumur enam dan lapan tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor,” katanya.

Semalam media melaporkan, dua beradik meninggal dunia akibat lemas selepas kereta dinaiki tiba-tiba menggelongsor masuk ke dalam sungai dalam kejadian di jambatan Tanjung Agas, Linggi di sini pagi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian dipercayai berlaku, semasa empat sekeluarga sedang bersantai di tebing sungai tanpa menghidupkan enjin kenderaan.

“Ketika lelaki dewasa keluar dari kenderaan, tiba-tiba kereta mengelongsor masuk ke dalam sungai. Ketika kejadian air tengah surut dan mangsa telah menjerit meminta tolong. Mangsa wanita dewasa sempat diselamatkan orang awam manakala dua kanak-kanak telah tenggelam bersama kenderaan,” katanya.

Menurutnya, seorang kanak-kanak perempuan telah ditemukan pada pukul 1.24 petang dan juga seorang kanak-kanak lelaki pada pukul 1.47 petang.

“Kedua-dua mangsa itu ditemukan di dalam kenderaan yang terbalik di dasar sungai dengan kedalaman empat meter. Mangsa ditemukan dalam ruang penumpang hadapan.

Menurutnya, kedua-duanya cuba diselamatkan melalui resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun kemudiannya disahkan telah meninggal dunia.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×