TANJUNG MALIM: Malaysia membuka kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) pertama hasil kerjasama Proton dan Zhejiang Geely Holding Group.
Kilang berkeluasan 2.2 hektar di Tanjung Malim itu dibina dengan kos hampir RM80 juta secara berfasa, mampu mengeluarkan ribuan unit kenderaan setahun.
Ia akan memulakan pengeluaran dengan model EV pertama Proton, e.MAS 7, diikuti model kedua, e.MAS 5.
Zhejiang Geely Holding Group memiliki 49.9 peratus kepentingan di dalam Proton manakala selebihnya milik Konglomerat DRB-Hicom Berhad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelancaran kilang itu akan memperkukuh hubungan erat Malaysia-China serta melonjakkan industri automotif negara ke arah teknologi hijau dan lestari.
Kata beliau, pembukaan kilang itu memenuhi dasar negara termasuk transisi tenaga, penguasaan teknologi, pelan perindustrian serta Dasar Automotif Negara.
“Saya ucap terima kasih kepada kerajaan negara China. Dalam beberapa pertemuan kita dengan Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri China, Li Qiang termasuk dua hari yang lalu. Itu kesediaan mereka untuk memberi kerjasama.
“Kesediaan mereka itu di peringkat tertentu seperti pemindahan teknologi dan memberi ruang kepada anak-anak tempatan menghasilkan produk sendiri,” katanya merasmikan kilang EV Proton di sini, semalam.
Perdana Menteri berkata, pembukaan kilang itu adalah hasil kerjasama strategik berterusan dengan kerajaan China yang bukan sahaja memberi sokongan pelaburan besar tetapi juga pemindahan teknologi menerusi rakan kongsi Proton, Geely.
“Proton memiliki pengalaman lama dengan syarikat antarabangsa dan kini dengan sokongan besar daripada Geely, kita berjaya mengorak langkah lebih jauh. Kerjasama ini termasuk pemindahan teknologi dan pembentukan pusat kecemerlangan untuk melatih anak-anak kita,” katanya. – UTUSAN










