KUALA TERENGGANU: Tindakan seorang pempengaruh media sosial untuk menghasilkan kandungan unik di atas platform terapung membawa padah apabila dia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu dalam satu operasi berhampiran Pulau Bidong, dekat sini petang kelmarin.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, dua buah bot bersama platform terbabit dikesan sekitar pukul 6 petang pada jarak kira-kira 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform terapung yang turut membawa sebuah kereta di atasnya. Sebuah lagi bot pengiring pula beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut,” katanya semalam.
Beliau berkata, platform berkenaan juga tidak dilengkapi sebarang peralatan keselamatan dan menimbulkan risiko besar apabila digunakan sebagai lokasi penggambaran.
“Tindakan sebegini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan nyawa kru, penumpang serta pengguna perairan lain,” katanya.
Menurutnya, operasi tersebut turut menahan seorang pempengaruh media sosial bersama kru dan penumpang berusia antara 21 tahun hingga 32 tahun yang merupakan rakyat tempatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) kerana melanggar syarat lesen sah, beroperasi tanpa kebenaran serta menjalankan aktiviti penundaan tanpa kelulusan.
Hamiludin berkata, Maritim Malaysia tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya melanggar undang-undang maritim biarpun atas alasan hiburan atau pelancongan.-UTUSAN.










