PORT DICKSON: Seorang nelayan di Tanjung Agas, Linggi di sini kesal kerana gagal menyelamatkan dua kanak-kanak yang lemas dalam kejadian kereta menggelongsor ke dalam sungai di sini semalam.
Nelayan terbabit, Ade Mos, 47, berkata, dia sudah tidak berdaya untuk menyelamatkan kedua-dua beradik berusia lapan dan sembilan tahun itu setelah sebelum itu dia menyelamatkan ibu mangsa.
Katanya, ketika kejadian dia sedang bersarapan bersama anak perempuannya di warung yang terletak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian dan terdengar bunyi suara riuh dari arah jambatan.
“Mula-mula saya fikir ada orang kena sambar buaya tetapi kemudian saya nampak bahagian belakang kereta sahaja. Saya segera naik bot kecil yang ada di sungai apabila lihat si ibu keluar daripada kenderaan.
“Si bapa menjerit meminta tolong selamatkan isterinya kerana isterinya sudah hanyut tidak tahu berenang. Saya berjaya menyelamatkan si isteri dan membaling sauh di lokasi kereta berkenaan yang sudah terjunam.
“Saya cuba hendak menyelam selamatkan dua beradik itu, namun gagal kerana tidak mampu menyelam kerana sudah semput. Saya minta maaf pada bapa kanak-kanak itu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin berkata, dua beradik itu masing-masing berusia lapan dan sembilan tahun itu meninggal dunia akibat lemas selepas kereta dinaiki tiba-tiba menggelongsor masuk ke dalam sungai dalam kejadian di jambatan Tanjung Agas, Linggi di sini.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku, semasa empat sekeluarga sedang bersantai di tebing sungai tanpa menghidupkan enjin kenderaan.
“Ketika lelaki dewasa keluar dari kenderaan, tiba-tiba kereta mengelongsor masuk ke dalam sungai. Ketika kejadian air tengah surut dan mangsa telah menjerit meminta tolong. Mangsa wanita dewasa sempat diselamatkan orang awam manakala dua kanak-kanak telah tenggelam bersama kenderaan,” katanya.
Menurutnya, seorang kanak-kanak perempuan telah ditemukan pada pukul 1.24 petang dan manakala seorang kanak-kanak lelaki pada pukul 1.47 petang.-UTUSAN.










