PETALING JAYA: Jabatan Imigresen Malaysia menggesa remaja lelaki warga Britain, David Balisong, 17, untuk segera tampil selepas visa perjalanannya tamat hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, ia menjadi satu kesalahan untuk warga asing tinggal di negara ini dengan menggunakan visa perjalanan tamat tempoh.
“Dia perlu tampil segera bagi menyelesaikan perkara ini atau berdepan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa sekiranya ditahan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, kesalahan tinggal lebih masa boleh dikenakan denda sehingga RM10,000, penjara sehingga lima tahun, selain tahanan, pengusiran dan larangan memasuki semula negara ini.
Zakaria berkata, berdasarkan rekod Imigresen, remaja terbabit masih belum meninggalkan Malaysia.
“Kes ini dalam siasatan polis, jadi saya tidak boleh ulas panjang mengenai usaha mengesan individu berkenaan. Apa yang penting, kami nasihatkan dia supaya segera tampil,” katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan rekod penerbangan menunjukkan David transit di Dubai, UAE sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 8.29 pagi, 7 Jun lalu.
Kali terakhir dia menghubungi ibunya pada 9 Julai sebelum wanita itu melaporkan mengenai kehilangannya.
Media antarabangsa melaporkan, David dari Cheadle, Greater Manchester, memaklumkan kepada abangnya pada 6 Jun lalu untuk keluar awal ke sekolah bagi menduduki peperiksaan A-level.
Namun, pada hari sama dia menaiki penerbangan sehala ke Kuala Lumpur tanpa pengetahuan sesiapa. Keluarganya hanya menyedari kehilangannya apabila dia tidak pulang dari kolej pada petang itu.
Pihak berkuasa Britain mengesahkan David berlepas seorang diri dari Lapangan Terbang Manchester dan diberikan visa 90 hari sebaik tiba di Malaysia. – UTUSAN










