Dua stesen seismik dibina pantau gempa Segamat - Utusan Malaysia

Dua stesen seismik dibina pantau gempa Segamat

BANDAR Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Dua stesen seismik akan dibina bagi menempatkan alat seismometer untuk mengesan dan mengukur kekuatan gelombang seismik susulan enam kejadian gempa bumi lemah di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, Mohd. Ezzuddin Sanusi berkata, pihaknya sedang meneliti kawasan yang sesuai bagi pemasangan alat tersebut.

Katanya, stesen berkenaan akan dibangunkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

“JPBD Segamat sudah membuat permohonan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan. Setakat ini permohonan sedang diteliti dan lokasi sesuai sedang dinilai.

“Difahamkan lokasi pembinaan stesen tersebut tidak boleh berhampiran dengan jalan raya dan penempatan penduduk serta jauh bebas daripada habitat liar kerana alat seismometer sensitif kepada bunyi,” katanya pada Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Bersama Pemimpin Komuniti Segamat di Dewan Serbaguna Jalan Genuang di sini, semalam.

MetMalaysia mengoperasikan 80 sensor seismik di seluruh negara setakat ini termasuk enam di Johor bagi mengesan sebarang aktiviti gempa bumi.

Enam alat pengesan gegaran itu terletak di Gelang Patah, Johor Bahru, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, dan Mersing.

Mohd. Ezzuddin yang juga Pegawai Daerah Segamat memaklumkan, sebanyak 64 laporan kerosakan membabitkan kediaman dan surau direkodkan.

Katanya, laporan kerosakan bagaimanapun hanya melibatkan kerosakan kecil seperti retakan pada dinding dan siling.

“Bermula 24 sehingga 30 Ogos lalu, enam gegaran direkodkan membabitkan magnitud antara 2.7 hingga 4.1 skala Richter.

“Sepanjang tempoh itu, JPBD telah diaktifkan bagi memantau sebarang perkembangan termasuk bilik gerakan dan rondaan lebih kerap agensi penyelamat polis dan bomba,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×