Imigresen gempur Bukit Bintang, cubaan 770 PATI larikan diri gagal

Imigresen gempur Bukit Bintang, cubaan 770 PATI larikan diri gagal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelbagai helah digunakan 770 pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi meloloskan diri, namun gagal selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengadakan operasi besar-besaran di sekitar Bukit Bintang, malam tadi.

Dalam operasi dua jam bermula jam 7.30 malam itu, seramai 2,445 individu diperiksa membabitkan 1,600 warga asing dan 845 warga tempatan, dengan kekuatan 106 pegawai dari Ibu Pejabat Putrajaya.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Basri Othman berkata, operasi dinamakan Op Belanja memberi tumpuan kepada restoran, kedai dan lorong yang sering dikunjungi warga asing.

“Kami menerima dua hingga tiga aduan dalam tempoh tiga minggu bahawa kawasan ini seolah-olah dikuasai warga asing sebelum tindakan diambil,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi malam tadi.

Menurut Basri, pelbagai taktik digunakan bagi mengelak ditahan, termasuk memberi alasan hanya makan atau bercuti, menyorok di bawah meja dan katil, malah ada yang sanggup memanjat hingga ke bumbung bangunan. Bagaimanapun, semua mereka berjaya dipintas walaupun keadaan lorong sempit dan gelap menyukarkan pemeriksaan.

Turut dikesan sebuah premis judi haram lengkap dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebagai amaran awal kepada pengunjung. Seramai tujuh individu, enam warga Myanmar dan seorang Indonesia, ditahan ketika sedang berjudi.

Pemeriksaan ke atas tiga blok pangsapuri kedai di kawasan itu turut mendapati ada majikan menyewa premis untuk dijadikan asrama pekerja asing, manakala sebahagian lain menggunakan pas lawatan sosial tetapi bekerja di tapak pembinaan.

“Premis ini sudah beberapa kali diserbu, namun kali ini lebih besar susulan aduan berterusan orang awam,” katanya.

Basri menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk pemeriksaan inspektorat terhadap premis yang disyaki menggaji pekerja asing melebihi kuota.

Daripada jumlah ditahan, 377 lelaki Bangladesh, 235 lelaki Myanmar, 58 lelaki India, 72 lelaki Nepal, 19 warga Indonesia termasuk dua wanita, serta sembilan warga asing lain termasuk enam wanita. Mereka berusia 21 hingga 65 tahun.

Kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan menggunakan kad pengenalan tidak diiktiraf. Semua dibawa ke JIM Putrajaya untuk saringan sebelum ditempatkan di depot bagi siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×